hamden27/04/2026 - 18:03 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 April - Steel Hawk Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB) telah memperoleh kontrak perkhidmatan pengurusan logistik bagi PETRONAS Gas Berhad (PGB) untuk tempoh tiga tahun bermula 10 April 2026 hingga 9 April 2029.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak tersebut merangkumi perkhidmatan logistik bagi operasi PGB-GTR, pakej A wilayah utara.
"Kontrak ini dilaksanakan secara “call-out basis”, iaitu tiada nilai kontrak tetap ditetapkan, sebaliknya perkhidmatan akan dilaksanakan mengikut keperluan pelanggan sepanjang tempoh kontrak," kata kenyataan itu.
Steel Hawk menjelaskan kontrak tersebut tidak memberi kesan terhadap modal saham atau struktur pegangan syarikat, serta tidak dijangka memberi kesan material kepada aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tempoh kewangan berkenaan.
Syarikat turut memaklumkan bahawa kontrak ini tidak mendedahkan kumpulan kepada risiko baharu memandangkan Steel Hawk telah pun mempunyai pengalaman dalam menyediakan perkhidmatan seumpamanya.
Selain itu, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.
Kontrak ini juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham mahupun pihak berkuasa kawal selia dan dianggap sebagai sebahagian daripada operasi biasa perniagaan kumpulan. - DagangNews.com






