
KLANG – Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majisteet, di sini, hari ini atas pertuduhan bunuh lelaki warga Indonesia, bulan lalu.
Tertuduh, Fauzi Mahya, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majisteet, Nor Azilah Mat.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Fauzi didakwa telah membunuh lelaki warga Indonesia dikenali Wijaya, 30, di tepi jalan Kampung Batu Belah kira-kira pukul 1.20 tengah hari pada 25 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun.
Jika tidak dihukum mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sulfie Abu Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Januari depan sebagai sebutan semula kes dan tiada jaminan diberikan. – KOSMO! ONLINE
The post Kontraktor didakwa bunuh lelaki Indonesia appeared first on Kosmo Online.






