Kontraktor gagal projek PBT bakal dikenakan tindakan tegas - Suee Lim

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 1:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kontraktor gagal projek PBT bakal dikenakan tindakan tegas - Suee Lim
Suee Lim semasa sesi pertanyaan sidang DUN Selangor pada Rabu.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kontraktor yang gagal melaksanakan tanggungjawab seperti dipersetujui dalam kontrak di setiap projek pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, tindakan itu termasuk pelbagai langkah mengikut prosedur dan standard operasi (SOP) perolehan yang sedang berkuat kuasa.

Menurutnya, antara tindakan boleh diambil adalah mengeluarkan notis peringatan, memanggil kontraktor untuk memberi penjelasan, serta menjalankan pemantauan tapak dan penilaian prestasi secara menyeluruh.

"Selain itu, kerajaan negeri juga boleh mengenakan tindakan kontrak seperti pemotongan bayaran, tuntutan ganti rugi atau menamatkan kontrak tertakluk kepada terma perjanjian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Harrison Hassan (PN-Jeram) semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.

Suee Lim menegaskan, kontraktor yang didapati bermasalah juga boleh disenaraihitam sekiranya kegagalan mereka serius serta memenuhi syarat ditetapkan dalam peraturan perolehan.

Dalam masa sama, Suee Lim memaklumkan, setakat ini tiada kontraktor atau syarikat yang gagal menyiapkan projek PBT di DUN Jeram berdasarkan semakan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Katanya, kerajaan negeri melalui PBT akan terus memantau pelaksanaan projek secara berkala bagi memastikan semua kerja disiapkan mengikut skop, tempoh masa dan standard ditetapkan.

"Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap kontraktor yang gagal dan rekod prestasi akan sentiasa dikemas kini supaya hanya syarikat berkeupayaan diberi peluang pada masa depan," tambah beliau.