
TAWAU: Pemilik lesen kontraktor diingatkan agar bertanggungjawab penuh ke atas lesen mereka.
Ini termasuk memastikan tiada sebarang perlanggaran undang-undang dilakukan jika meminjamkan lesen tersebut kepada pihak ketiga.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Karunanithy A/L Y. Subbiah berkata, mereka juga perlu memastikan peminjam lesen melaksanakan kerja dengan betul mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Sekiranya berlaku sebarang perlanggaran undang-undang, misalnya menggunakan dokumen bank palsu untuk mendapatkan projek atau membuat tuntutan, pemilik bertanggungjawab penuh terhadap kes tersebut,” katanya.
SPONSORED CONTENT Hajiji says young business professionals' inputs needed to develop Sabah Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said he welcomed inputs from young business professionals to assist in policy formulation. Read more Beliau berkongsi kes tentang kisah menyedihkan seorang wanita baru bersalin yang merupakan pemilik lesen, dan suaminya melakukan kesalahan ketika menggunakan lesen tersebut.
“Akhirnya, isteri (pemilik lesen) dan suaminya dituduh (di mahkamah), dan kedua-duanya dipenjarakan. Anak (baru lahir) siapa yang (akan) jaga?,” katanya sambil menambah, insiden sedemikian perlu dijadikan iktibar oleh pemilik lesen.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, kontraktor juga perlu mengemukakan dokumen betul dan tidak cuba mengelirukan prinsipal pihak berkenaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sebagainya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Pengurusan Perolehan dan Kewangan Kerajaan di Dewan Wisma Kastam, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, seminar kali ini memilih JKR Sabah yang merupakan salah satu rakan strategik penting, sesuai halatuju SPRM tahun ini yang mahu fokus kepada tiga perkara iaitu ketirisan dana awam, perolehan dan penguatkuasaan.
Program itu, katanya, turut melibatkan kontraktor kerana rasuah tidak hanya melibatkan pemberi dan penerima rasuah, tetapi juga pihak membuat tuntutan palsu dan salah guna kuasa.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat perubahan ketara dalam kalangan kontraktor yang tidak lagi melakukan kesalahan sama, hasil pendedahan menerusi seminar dan juga tindakan siasatan serta pendakwaan ke atas mereka yang melakukan kesalahan.
“Satu ketika dahulu banyak kes kontraktor mengemukakan dokumen dan penyata bank palsu di Sabah, tetapi isu ini sudah berkurang cukup ketara dan drastik hasil langkah-langkah pencegahan yang kita jalankan. Ini satu perkara positif,” katanya.
Karunanithy berkata, SPRM Sabah membuka tiga kertas siasatan dan menerima 12 maklumat sehingga kini bagi tempoh lima tahun melibatkan JKR.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menyeru semua jurutera daerah dan penyelia memainkan peranan penting dalam usaha pencegahan rasuah bagi memastikan Legasi Kepimpinan yang ditinggalkan menjadi contoh kepada generasi akan datang.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Khidmat Teknikal JKR Sabah, Hafez Shahbuddin; Ketua Cawangan SPRM Tawau, Richard Hii Ding Yin dan Jurutera Bahagian Kawasan Selatan JKR Tawau, Mohammad Izam Jamal.

