Kontroversi Next Lion-Zetrix: M&A Equity gantung sementara tugas CEO M&A Asset Management

Business & Finance
14 Sep 2026 • 4:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontroversi Next Lion-Zetrix: M&A Equity gantung sementara tugas CEO M&A Asset Management Image from: Kontroversi Next Lion-Zetrix: M&A Equity gantung sementara tugas CEO M&A Asset Management liza14/09/2026 - 16:55 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Sept – M&A Equity Holdings Bhd (MAEH) menggantung sementara tugas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikatnya, M&A Asset Management Malaysia Sdn Bhd (MAAM), Sean Yap Shon Leong berkuat kuasa 8 September 2026.

 

Tindakan itu diambil ketika MAEH menjalankan semakan bebas terhadap penglibatan Sean Yap dengan Next Lion Holdings Ltd dan kumpulan syarikatnya.

 

Dalam penjelasan berhubung laporan media baru-baru ini, MAEH berkata penglibatan Sean Yap dengan Next Lion, termasuk peranannya sebagai pemegang saham dan pengarah dibuat sepenuhnya atas kapasiti peribadi.

 

 

 

 

 

MAEH menegaskan Next Lion dan kumpulan syarikatnya bukan anak syarikat, syarikat bersekutu, usaha sama atau syarikat pelaburan MAEH mahupun MAAM.

 

“MAEH, MAAM atau mana-mana syarikat lain dalam kumpulan juga tidak terlibat dalam transaksi berkaitan Next Lion yang dirujuk dalam laporan media berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kontroversi ini tercetus susulan laporan mengenai perjanjian RM130 juta antara Zetrix AI Bhd dan Next Lion Ltd bagi mengambil alih 50% kepentingan dalam MYEG Ventures Inc.

 

Urus niaga besar ini menarik perhatian pasaran saham apabila ia dibatalkan secara mengejut hanya selepas tiga hari diumumkan atas alasan pasaran yang tidak stabil. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Zetrix AI beli 50% kepentingan dalam MYEG Ventures Filipina pada harga RM130 juta

 

Semakan mendapati syarikat Next Lion tersebut dimiliki secara peribadi oleh Sean Yap.


Penglibatan Peribadi, Bukan Urusan Kumpulan

MAEH berkata Sean Yap tidak bertindak untuk atau bagi pihak kumpulan dan tidak diberi kuasa untuk mewakili MAEH atau MAAM dalam perkara berkaitan Next Lion.

 

Kumpulan itu turut menegaskan bahawa ia tidak memberikan sebarang pembiayaan, bantuan kewangan, jaminan, aku janji atau sokongan lain kepada Next Lion.

 

Sehubungan itu, MAEH berkata perkara yang disebut dalam laporan media berkenaan tidak memberi kesan kewangan atau operasi kepada kumpulan MAEH.

 

Semakan Bebas Dan Tadbir Urus

Lembaga pengarah MAEH berkata pihaknya telah mengambil langkah bagi memastikan operasi MAAM terus berjalan secara teratur sepanjang tempoh cuti pentadbiran itu.

 

Kumpulan berkenaan juga tidak menjangkakan tindakan tersebut memberi kesan ketara terhadap perniagaan atau operasi MAAM mahupun kumpulan MAEH secara keseluruhan.

 

MAEH turut memaklumkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengenai penglibatan Sean Yap dalam Next Lion serta semakan bebas yang sedang dijalankan oleh lembaga pengarah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Zetrix AI buat pusingan U beli 50% MYEG Ventures Filipina

 

Kumpulan itu berkata MAEH mempunyai polisi berkaitan kepentingan perniagaan luar bagi pengarah dan pekerjanya.

 

Di bawah polisi tersebut, pengarah dan pekerja perlu mengisytiharkan kepentingan perniagaan luar serta memastikan kepentingan berkenaan kekal berasingan daripada tanggungjawab mereka dalam kumpulan.

 

Kepentingan MAEH Dan Pemegang Kepentingan

MAEH berkata sebarang rujukan kepada Sean Yap berhubung Next Lion tidak seharusnya dianggap sebagai penglibatan, sokongan atau penyertaan MAEH, MAAM atau mana-mana entiti lain dalam kumpulan.

 

 

 

 

 

 

Lembaga pengarah turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius perkara berkaitan tadbir urus, integriti dan reputasi kumpulan.

 

MAEH berkata pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kepentingan kumpulan serta pemegang kepentingannya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved