
FENOMENA konvoi bermotosikal semakin menjadi budaya dalam kalangan penunggang, khususnya pada musim cuti, hujung minggu, sambutan perayaan dan program himpunan motosikal.
Namun, keterujaan itu sering bertukar duka apabila kemalangan tragis meragut nyawa peserta.
Sebahagian peserta terlalu ghairah mengekori rentak kumpulan sehingga mengabaikan aspek keselamatan. Mereka memotong secara berbahaya, menunggang terlalu rapat dan memecut melebihi had laju. Keadaan menjadi lebih berisiko apabila perjalanan dilakukan pada waktu malam atau awal pagi ketika tahap keletihan dan penglihatan semakin berkurangan.
Budaya berlumba secara tidak rasmi turut mencemari sesetengah konvoi. Walaupun penganjur mendakwa perjalanan berlangsung secara santai, namun keadaan di jalan raya sering berbeza. Kehadiran kumpulan yang besar mendorong segelintir penunggang menunjukkan kehebatan jentera dan kemahiran melalui aksi berbahaya. Tindakan itu bukan sahaja mengancam keselamatan peserta, malah membahayakan pengguna jalan raya lain.
Selain sikap penunggang, kelemahan pengurusan konvoi turut menyumbang kepada kemalangan. Ada program dianjurkan tanpa taklimat keselamatan, marshal yang terlatih atau pelan perjalanan yang tersusun.
Malah, terdapat peserta yang menyertai konvoi walaupun motosikal mereka tidak berada dalam keadaan baik. Kerosakan pada tayar, brek atau lampu boleh mengundang kemalangan berantai yang melibatkan ramai penunggang.
Media sosial juga memainkan peranan dalam menyuburkan budaya konvoi ekstrem. Video aksi berbahaya yang dimuat naik demi meraih tontonan dan pujian mendorong golongan muda meniru perlakuan tersebut tanpa memikirkan risikonya.
Komuniti permotoran dan pencipta kandungan seharusnya mempromosikan amalan menunggang secara berhemah serta menjadikan keselamatan sebagai keutamaan.
Pihak berkuasa pula perlu memperketat pemantauan terhadap konvoi berskala besar melalui penguatkuasaan undang-undang dan syarat keselamatan yang lebih jelas.
Pada masa sama, setiap penunggang perlu sedar yang minat terhadap dunia permotoran tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab menjaga nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong, Johor
The post Konvoi selamat tanggungjawab bersama appeared first on Utusan Malaysia.
