Korban gempa Colombia meningkat kepada 132, 570 cedera

11 Aug 2026 • 1:37 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Korban gempa Colombia meningkat kepada 132, 570 cedera

Angka korban gempa bumi 7.4 magnitud di barat Colombia meningkat kepada 132 maut, lebih 570 cedera; lima ibu negeri kekal amaran merah.

BOGOTA: Angka korban gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda barat Colombia pada Isnin meningkat kepada 132 orang, manakala lebih 570 lagi cedera, menurut kemas kini terbaharu kerajaan Colombia, lapor Xinhua.

Menurut laporan awal, 32 bandar di seluruh negara terjejas teruk, manakala lima ibu negeri iaitu Pereira, Cali, Quibdo, Manizales dan Armenia masih berada di bawah amaran merah.

Pereira merekodkan 60 kematian, diikuti Cali dengan 15, Quibdo lapan dan Manizales empat, menurut laporan itu.

Sebanyak 86 bangunan runtuh, manakala operasi di tujuh lapangan terbang digantung akibat kerosakan berkaitan gempa bumi.

Presiden Colombia Abelardo de la Espriella sebelum ini berkata kerajaan mengisytiharkan keadaan bencana nasional bagi menangani kesan gempa bumi itu.

Kedutaan China di Colombia pada Isnin berkata pihaknya mengaktifkan mekanisme tindak balas kecemasan sejurus selepas gempa bumi dan sedang memantau keadaan rakyat China di seluruh negara.

Setakat ini, tiada kematian atau kecederaan melibatkan rakyat China dilaporkan, menurut kedutaan.

Menurut Perkhidmatan Geologi Colombia, gempa bumi itu berlaku pada 7.34 pagi waktu tempatan pada Isnin.

Pusat gempa terletak berhampiran San Jose del Palmar di wilayah Choco, pada kedalaman 96 kilometer.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved