
PETALING JAYA – Terlibat dalam platform persembahan Launchpad, penyanyi dan komposer Datuk Yusry Abdul Halim menyifatkan sebagai peluang satu langkah strategik untuk melebarkan pengaruh muziknya ke pasaran antarabangsa serta menarik perhatian generasi pendengar baharu.
Meskipun menjadi antara artis paling berpengalaman dalam barisan persembahan Launchpad, Yusry, 53, menganggap inisiatif tersebut mampu merapatkan jurang antara generasi penyanyi lama dan baharu.
“Pada saya, apa yang menarik mengenai Launchpad iaitu dua lagi kumpulan KIIRAS (Korea Selatan) dan UPRIZE (Vietnam) adalah bakat yang sedang membina nama.
“Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya yang sudah 34 tahun dalam industri turut serta dalam platform ini.
“Tapi saya melihatnya dari sudut positif kerana platform ini membuka pasaran baharu kerana mereka mempunyai perancangan untuk mengembangkan program itu ke luar negara, jadi ini satu inisiatif yang baik untuk kita berkongsi muzik di seluruh rantau ini,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran platform Launchpad di sini, semalam.
Pada masa sama, anggota kumpulan KRU itu berpendapat bahasa mahupun budaya tidak lagi menjadi kekangan dalam industri muzik moden hari ini.
“Selama ini budaya dan bahasa seolah-olah mengasingkan kita. Sedangkan Asia Tenggara adalah satu pasaran yang besar.
“Korea sudah membuktikan muzik itu bersifat universal. Anak-anak saya sendiri yang tidak faham bahasa Korea, tetapi tetap mendengar lagu-lagunya.
“Saya rasa generasi sekarang menerima muzik sebagai sesuatu yang universal. Kita tidak semestinya perlu memahami setiap perkataan. Jika kita memahami muzik itu sendiri, kita tidak perlu memahami bahasanya,” katanya lagi.
Tambah pelantun lagu Dekat Padamu itu, pembabitannya bersama bakat-bakat muda turut memberi peluang untuknya terus relevan dan mengekalkan jangka hayat kerjaya muziknya.
“Pada mulanya saya juga tertanya-tanya, sesuai ke saya tetapi saya melihatnya secara positif. Selalunya peminat artis baharu terdiri daripada golongan muda dan pada usia itulah seseorang paling aktif menjadi pendengar muzik.
“Sebagai penyanyi, kita perlu sentiasa berkembang. Kalau kita hanya bergantung kepada peminat sedia ada, memang mereka setia.
“Tetapi apabila mereka semakin berusia, siapa pula yang akan menggantikan mereka?
“Kalau dapat satu peratus sahaja daripada penonton muda itu untuk mengenali muzik saya, itu sudah menjadi satu asas yang baik untuk dibina,” jelasnya.
Launchpad adalah platform pembangunan artis yang direka untuk mempercepatkan perkembangan artis-artis baharu di peringkat serantau dengan menghubungkan mereka secara langsung kepada penonton, media, jenama dan rakan industri di seluruh Asia Tenggara.
Dinaungi Fast Track Entertainment (FTE) dari Singapura bersama rakan penjenamaannya, Sony Music Malaysia, Launchpad turut disokong dengan penghasilan kandungan digital asli, pendedahan media serantau serta kerjasama strategik bersama jenama yang dijangka membuka peluang komersial baharu sambil menyokong pembangunan kerjaya artis dalam jangka masa panjang, melangkaui pasaran tempatan mereka. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Korea bukti muzik itu universal, Asia Tenggara juga pasaran besar’ appeared first on Kosmo Digital.


