
PETALING JAYA: Fast Track Entertainment (FTE), anak syarikat kepada Fast Track Group, melancarkan secara rasmi LAUNCHPAD, sebuah platform pembangunan artis yang diwujudkan bagi membantu bakat baharu menembusi pasaran Asia Tenggara menerusi pengalaman persembahan secara langsung.
Platform yang dibangunkan bersama rakan penjenamaan, Sony Music Malaysia itu diperkenalkan susulan cabaran yang masih dihadapi ramai artis meningkat naik untuk mengembangkan kerjaya di luar negara meskipun industri hiburan Asia Tenggara terus berkembang pesat.
Antara kekangan utama ialah akses yang terhad kepada media, rangkaian industri, peluang kerjasama komersial serta platform promosi serantau, sekali gus menyukarkan artis membina nama di luar pasaran domestik.
Justeru, LAUNCHPAD diwujudkan bagi merapatkan jurang tersebut dengan menghubungkan artis secara langsung kepada peminat, media, jenama dan rakan industri menerusi siri persembahan eksklusif berskala intim di seluruh rantau ini.

Pendekatan itu turut diperkukuhkan melalui penghasilan kandungan digital asli, pendedahan media serantau dan kerjasama strategik bersama jenama bagi meningkatkan keterlihatan artis serta membuka peluang komersial yang lebih meluas.
Pelancaran rasmi platform berkenaan berlangsung di PJ Performing Arts Centre di sini dengan kehadiran wakil media, rakan industri serta artis antarabangsa termasuk KIIRAS dari Korea Selatan, UPRIZE dari Vietnam dan Yusry Abdul Halim mewakili Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Fast Track Entertainment, Harris Lim berkata, LAUNCHPAD merupakan langkah penting dalam merealisasikan visi syarikat membina ekosistem hiburan yang saling berhubung di seluruh Asia Tenggara.
“LAUNCHPAD merupakan satu langkah penting dalam merealisasikan visi kami untuk membina ekosistem hiburan yang saling berhubung di seluruh Asia Tenggara.
“Kami percaya seseorang artis dapat berkembang dengan lebih cepat apabila mereka dapat berhubung secara langsung dengan audiens baharu menerusi pengalaman persembahan secara langsung yang istimewa.”
Beliau berkata, siri persembahan eksklusif yang menjadi teras platform itu bukan sekadar menghubungkan artis dengan peminat, malah turut mempertemukan mereka dengan media, jenama dan rakan industri.
“Menerusi siri persembahan eksklusif berskala intim, LAUNCHPAD merealisasikan visi ini dengan menghubungkan artis bersama peminat, media, jenama dan rakan industri.
“Disokong oleh kandungan digital asli, kerjasama jenama serta kolaborasi serantau, kami membuka peluang komersial baharu yang mempercepatkan perkembangan artis dan meluaskan pengaruh mereka ke pasaran serantau di luar negara asal.
“Ini hanyalah permulaan, dan kami berharap dapat terus mengembangkan LAUNCHPAD ke seluruh rantau ini.”
Selepas pelancaran, LAUNCHPAD akan diperkenalkan secara berperingkat menerusi siri showcase di seluruh Asia Tenggara bermula penghujung tahun ini hingga awal 2027.
Setiap siri showcase akan disokong dengan liputan media, penghasilan kandungan digital, kerjasama jenama dan aktiviti bersama peminat bagi mempercepatkan perkembangan artis serta meningkatkan pengaruh mereka di peringkat serantau.
Melalui pendekatan menyeluruh itu, LAUNCHPAD disasarkan menjadi platform yang membantu artis membina kerjaya lebih mampan, memperluaskan kelompok peminat dan membuka peluang komersial baharu melangkaui pasaran negara asal.
The post Fast Track Entertainment lancar LAUNCHPAD perkasa artis tembusi pasaran serantau appeared first on Utusan Malaysia.






