‘Kos barang meningkat, kami terpaksa naikkan harga’: Peniaga bazar Ramadan

13 Mar 2024 • 9:00 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Rata-rata peniaga di bazar Ramadan mengakui terpaksa menaikkan harga jualan sehingga RM1 susulan kenaikan kos barang mentah.

Namun menerusi tinjauan Scoop di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, ada peniaga yang enggan menaikkan harga kerana ingin mengekalkan pelanggan sedia ada.

Peniaga martabak, Hanif Ruslan, 28, berkata, walaupun berat untuk dirinya menaikkan harga dari RM4 ke RM4.50 pada tahun ini, namun dia bersyukur kerana pelanggan tetapnya memahami perkara tersebut.

image is not available
Walaupun berat bagi peniaga martabak, Hanif Ruslan menaikkan harga pada tahun ini, namun dia bersyukur kerana pelanggan tetapnya memahami. - Gambar Alif Omar/Scoop, 13 Mac, 2024

“Pelanggan memahami kenapa kami naikkan harga, harga barang (kos mentah) naik.

“Martabak ayam dan daging kami jual tahun ini berharga RM4.50. Istimewanya martabak kami resipi turun-temurun dari keluarga dan sudah berniaga martabak sama sejak 34 tahun lalu,” katanya.

Peniaga bihun sup utara, Usman Isa, 61, pula berkata, dia terpaksa menaikkan harga jualan dari RM7 ke RM8 tahun ini.

image is not available
Peniaga bihun sup utara, Usman Isa mengakui tahun ini dia terpaksa menaikkan harga jualan dari RM7 ke RM8. - Gambar Alif Omar/Scoop, 13 Mac, 2024

Menurutnya perkara itu tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan kos barang mentah turut dirasai peniaga.

“Tahun ini saya terpaksa naikkan RM1 namun mujur pelanggan memahami.

“Kebiasaannya jualan di bazar Ramadan selalunya laris sekali ganda berbanding hari-hari biasa ketika saya berniaga di pasar Taman Sri Rampai.

“Mungkin hari-hari biasa orang tak pandang sangat (bihun sup), tapi bila puasa, rasanya lain sikit,” katanya berseloroh.

Sementara itu peniaga asam pedas claypot, Mukmin Simunir, 24, berkata, dia tidak menaikkan harga pada produk jualannya bagi mengekalkan pelanggan sedia ada.

Menurutnya, walaupun tidak menaikkan harga namun dia tetap mampu meraih sedikit keuntungan daripada hasil jualan.

Malah Mukmin berkata, dia yakin dengan strategi memasak fresh di hadapan pelanggan mampu menarik perhatian lebih ramai pelanggan.

image is not available
Peniaga asam pedas claypot, Mukmin Simunir lebih selesa untuk tidak menaikkan harga produk jualannya bagi mengekalkan pelanggan sedia ada. - Gambar Alif Omar/Scoop, 13 Mac, 2024

“Saya masih mengekalkan harga sama seperti tahun lepas.

“Keuntungan tetap ada dan keunikan memasak ketika pelanggan melakukan pesanan merupakan antara ‘pelaris’ gerai ini,” katanya yang sudah empat tahun berniaga di sini.

Asam pedas dijual pada harga RM12 hingga RM23 bagi asam pedas kepala ikan.

Tahun ini, sebanyak 192 gerai beroperasi di bazar yang tertua di ibu kota ini. - 13 Mac, 2024