
SHAH ALAM, 23 OGOS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan pemantauan di dua loji rawatan kumbahan bagi mengenal pasti risiko yang boleh menyebabkan pencemaran sungai berhampiran.
Operasi Pemantauan Loji Rawatan Kumbahan itu dilaksanakan menerusi Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ dengan kerjasama LUAS pada 20 Ogos lalu.
Dua lokasi terbabit ialah Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) AMA 105 di Taman Kosas dan IWK AMA 079 di Taman Ampang Indah.
MPAJ memaklumkan operasi berkenaan dijalankan bagi menilai keberkesanan proses rawatan air kumbahan sebelum pelepasan.
Pada masa sama, pemantauan itu bertujuan mengenal pasti sebarang risiko yang berpotensi menyebabkan pencemaran terhadap sungai berhampiran.
“Pada masa sama, pihak LUAS dan Unit Alam Sekitar turut mengambil sampel air efluen untuk menjalankan analisis terhadap parameter kualiti air,” menurut kenyataan MPAJ menerusi Facebook.
Menurut kenyataan itu, hasil analisis berkenaan akan dijadikan rujukan bagi menilai keadaan semasa kualiti air.
Hasil berkenaan juga digunakan bagi mengenal pasti tindakan susulan yang perlu diambil sekiranya terdapat perkara yang memerlukan perhatian.
“Pemantauan tersebut turut memastikan loji rawatan kumbahan kendalian IWK mematuhi keperluan perundangan dan aspek alam sekitar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan,” kata kenyataan itu lagi.
Usaha bersepadu MPAJ dan LUAS mencerminkan komitmen berterusan dalam melindungi kualiti sumber air serta memastikan kelestarian alam sekitar demi mewujudkan persekitaran Ampang Jaya yang bersih, selamat dan sejahtera.




