Kos diesel meningkat: Tambang feri Pasir Kelang naik RM2

27 Mar 2026 • 1:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Selepas lebih sedekad beroperasi tanpa sebarang perubahan kadar, tambang feri yang menghubungkan Pasir Kelang ke Pasir Era di Kuala Krai akhirnya dinaikkan sebanyak RM2 berkuat kuasa 18 Mac lalu susulan peningkatan mendadak harga diesel. Gambar kecil: Mohd Haikal.
image is not available
Kadar tambang feri yang menghubungkan Pasir Kelang ke Pasir Era di Kuala Krai sebelum ia dinaikkan bermula 18 Mac lalu.

KUALA KRAI – Selepas lebih sedekad beroperasi tanpa sebarang perubahan kadar, tambang feri yang menghubungkan Pasir Kelang ke Pasir Era di sini akhirnya dinaikkan sebanyak RM2 berkuat kuasa 18 Mac lalu susulan peningkatan mendadak harga diesel.

Pekerja feri, Mohd Haikal Mohd Ridzuan berkata, sepanjang 13 tahun perkhidmatan itu beroperasi, ini merupakan kali pertama kadar tambang dinaikkan bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat.

Menurut beliau, sebelum ini tambang bagi sebuah kereta bersama pemandu ialah RM6, namun kini meningkat kepada RM8.

"Kenaikan ini tidak dapat dielakkan kerana kos diesel meningkat dengan ketara," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

**media[3473506]**

Ujar Mohd Haikal, harga diesel yang sebelum ini sekitar RM40 setong kini melonjak kepada RM120, iaitu peningkatan hampir tiga kali ganda.

Tambahnya, dalam keadaan biasa, feri menggunakan kira-kira dua tong diesel sehari, namun ketika musim perayaan penggunaan boleh mencecah sehingga tiga tong sehari.

"Keadaan ini memberi tekanan besar kepada kos operasi harian, walaupun ada penumpang yang merungut namun masih ramai yang memahami situasi terkini," katanya.

Mohd Haikal memberitahu, feri berkenaan mampu memuatkan sehingga enam buah kereta bersama beberapa motosikal dengan had berat sekitar 20 tan bagi setiap perjalanan.

Katanya, perkhidmatan itu menjadi penghubung penting kepada penduduk setempat untuk menyeberangi Sungai Kelantan antara Pasir Era dan Pasir Kelang.

"Walaupun berlaku kenaikan tambang, kami berharap pengguna memahami situasi semasa memandangkan kos operasi semakin meningkat," ujarnya.

Seorang pengguna yang ingin dikenali sebagai Ahmad Luthman, 49, dia terpaksa akur dengan kenaikan tersebut walaupun ia dilihat membebankannya yang bekerja sendiri.

Dia menggunakan perkhidmatan feri terbabit sekitar empat kali sehari untuk keluar bekerja serta menghantar anak ke sekolah.

"Kami berharap dan berdoa agar harga diesel kembali murah dan projek jambatan menghubungkan Pasir Era dan Kelang akan siap secepat mungkin.

"Projek pembinaan jambatan rasanya telah bermula sejak 2021 namun sehingga kini masih belum dilaksanakan sepenuh," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan menanggung subsidi petrol dan diesel yang dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan di bawah pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel, susulan peningkatan harga minyak mentah global.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan konflik berlarutan di Asia Barat menekankan pasaran tenaga global, dengan harga minyak mentah kini melepasi paras AS$100 setong, sekali gus meningkatkan beban subsidi negara secara mendadak.

Kerajaan menetapkan harga diesel RM5.52 untuk satu liter di seluruh semenanjung bermula pada Khamis sehingga 1 April.