Kos hutang meningkat, ruang kerajaan berbelanja semakin terbatas — JP Morgan

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2026 • 5:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos hutang meningkat, ruang kerajaan berbelanja semakin terbatas — JP Morgan Image from: Kos hutang meningkat, ruang kerajaan berbelanja semakin terbatas — JP Morgan johardy17/09/2026 - 17:35 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Sept — Peningkatan kos khidmat hutang dan paras hutang awam yang tinggi dijangka semakin mengehadkan ruang kerajaan untuk menambah perbelanjaan, ketika Malaysia meneruskan usaha mengecilkan defisit fiskal kepada 3.4% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2027, menurut JP Morgan.

 

Bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu berkata, kerajaan Malaysia sedang mengimbangi langkah sokongan jangka pendek dengan kekangan fiskal jangka sederhana yang semakin ketara.

 

Kekangan itu termasuk harga minyak yang lebih tinggi, peningkatan kos khidmat hutang dan paras awal hutang awam yang tinggi, yang boleh mengehadkan ruang fiskal untuk perbelanjaan tambahan.

 

JP Morgan berkata, kerajaan secara berperingkat mengurangkan defisit daripada 6.4% daripada KDNK pada 2021 kepada 3.7% pada 2025 menerusi gabungan langkah meningkatkan hasil dan mengurangkan perbelanjaan.

 

Belanjawan 2027 utamakan pengagihan semula

“Dalam persekitaran yang lebih mencabar ini, kami menjangkakan konsolidasi fiskal akan diteruskan, meskipun pada kadar lebih perlahan, dengan Belanjawan 2027 berkemungkinan mengutamakan pengagihan semula berbanding peningkatan keseluruhan perbelanjaan,” katanya.

 

Firma itu menjangkakan kerajaan akan menyusun semula keutamaan perbelanjaan dan bukannya meningkatkannya secara ketara, dengan sebahagian penjimatan berkemungkinan diperoleh daripada unjuran bil subsidi yang lebih rendah pada 2027 susulan jangkaan penurunan harga minyak.

 

JP Morgan mengunjurkan harga minyak mencecah AS$85 setong tahun ini sebelum menurun kepada AS$63 setong pada 2027.

 

“Dalam hal ini, kenyataan prabelanjawan kerajaan menunjukkan bahawa Belanjawan 2027 akan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup, termasuk menerusi kerangka bantuan tunai dan subsidi sedia ada, di samping mengekalkan disiplin fiskal.

 

“Ini mungkin membawa kepada pengurangan selanjutnya dalam perbelanjaan pembangunan daripada unjuran 3.7% daripada KDNK bagi 2026 apabila hasil disalurkan kepada langkah sokongan isi rumah dan kos khidmat hutang,” katanya.

 

Subsidi bahan api cecah RM40 bilion

Firma itu berkata, tekanan fiskal telah berkurangan sejak April, namun belum reda sepenuhnya.

 

Kerajaan pada awalnya memperuntukkan RM15 bilion bagi subsidi bahan api pada 2026, tetapi kini menjangkakan jumlah perbelanjaan subsidi bahan api mencecah RM40 bilion.

 

Angka itu membayangkan peningkatan sebanyak RM25 bilion, lebih rendah berbanding kenaikan RM43 bilion yang diunjurkan pada April.

 

Menurutnya, sebahagian lebihan bil subsidi itu dijangka dapat diimbangi oleh hasil kerajaan yang lebih tinggi daripada unjuran belanjawan, termasuk peningkatan kutipan cukai dan royalti berkaitan petroleum.

 

“Pertumbuhan KDNK nominal yang lebih kukuh juga sepatutnya membantu mengecilkan nisbah defisit menerusi kesan penyebut yang lebih besar.

 

Dividen khas Petronas mungkin diperlukan

“Berdasarkan senario asas kami yang mengunjurkan pertumbuhan KDNK nominal antara 8% hingga 9% tahun ini, defisit fiskal masih boleh mencapai sasaran kerajaan sebanyak 3.5% daripada KDNK, walaupun terdapat lebihan sederhana antara RM2 bilion hingga RM3 bilion dalam nilai defisit nominal.

 

“Namun begitu, kami menjangkakan masih terdapat sedikit kekurangan yang memerlukan langkah tambahan untuk meningkatkan hasil, seperti dividen khas daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas), bagi mencapai sasaran fiskal tersebut,” katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved