Bintulu Port terima mandat 30 tahun kendali pelabuhan yang kini di bawah kerajaan Sarawak

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2026 • 4:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bintulu Port terima mandat 30 tahun kendali pelabuhan yang kini di bawah kerajaan Sarawak Image from: Bintulu Port terima mandat 30 tahun kendali pelabuhan yang kini di bawah kerajaan Sarawak johardy17/09/2026 - 16:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Sept - Beberapa hari selepas Pelabuhan Bintulu secara rasmi diambil alih kerajaan Sarawak daripada Persekutuan, pengendali sedia adanya menerima mandat selama 30 tahun untuk mengendalikan kemudahan strategik itu sehingga 2056.

 

Bintulu Port Sdn. Bhd. (BPSB), anak syarikat milik penuh Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), dilantik oleh Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) sebagai pengendali pelabuhan yang diluluskan mulai 1 September 2026 hingga 31 Ogos 2056.

 

BPHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, pelantikan itu memastikan kesinambungan operasi susulan pemindahan Pelabuhan Bintulu ke bawah bidang kuasa Sarawak mulai 1 September lalu.

 

Pelantikan tersebut mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sarawak dan dimuktamadkan menerusi Pemberitahuan Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) (Pelantikan Operator Pelabuhan yang Diluluskan) 2026.

 

Pemberitahuan itu diterbitkan dalam Warta Kerajaan Sarawak pada 10 September lalu mengikut Seksyen 12(2)(a) Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961.

 

BPHB dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia pada 14 September lalu mengumumkan bahawa Pelabuhan Bintulu telah beralih daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri, selain kerajaan Sarawak memberikan kelulusan secara prinsip terhadap pelantikan BPSB.

 

Makluman terbaharu itu mendedahkan tempoh pelantikan berkenaan, sekali gus mengesahkan bahawa BPSB akan mengendalikan pelabuhan tersebut selama 30 tahun.

 

Perjanjian konsesi sedang dimuktamadkan

BPSB perlu mengendalikan pelabuhan itu dengan mematuhi Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961 serta semua undang-undang kecil, peraturan dan perundangan subsidiari berkaitan.

 

Operasinya turut tertakluk kepada terma Perjanjian Prinsip (HOA) yang dimeterai pada 27 Julai 2026 antara kerajaan Sarawak, Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) dan BPSB.

 

Terma sementara tersebut akan terus berkuat kuasa sehingga semua pihak memeterai Perjanjian Konsesi Operasi Pelabuhan (POCA).

 

Selepas dimeterai, POCA akan mengikat BPSB dan menjadi kerangka utama yang mengawal selia operasi Pelabuhan Bintulu.

 

BPHB berkata, BPSB akan terus mengendalikan pelabuhan itu di bawah kerangka kawal selia Sarawak dan sebarang perkembangan penting, termasuk pemeteraian POCA, akan diumumkan dari semasa ke semasa. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved