Kos input lebih rendah, Kenanga Research jangka margin harga minyak sawit mentah meningkat kepada RM3,800 bagi setiap tan

Business & Finance
15 Feb 2024 • 9:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos input lebih rendah, Kenanga Research jangka margin harga minyak sawit mentah meningkat kepada RM3,800 bagi setiap tan

azan

15/02/2024 - 09:46

KUALA LUMPUR 15 Feb - Kenanga Research menjangkakan margin harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat didorong kos input yang lebih rendah berbanding sebelum ini.

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan, harga purata MSM berada pada paras RM3,800 bagi setiap tan.

Katanya, harga baja dan tenaga kini adalah lebih rendah antara 30% hingga 40% berbanding tahun ini dan pada masa sama hasil buah tandan segar (BTS) bertambah baik di Malaysia disokong kehadiran semula pekerja yang membolehkan penuaian tepat pada masanya dan penjagaan ladang yang lebih baik.

Katanya, permintaan terhadap isirung sawit (PK), produk sampingan pengeluaran MSM, boleh menjadi stabil dengan pemulihan harga PK yang sederhana pada akhir 2024 atau 2025 walaupun harga rendah sejak pertengahan 2022.

"Harga PK yang lebih tinggi akan diterjemahkan kepada mengurangkan kos pengeluaran MSM," katanya dalam satu nota kajian.

Kenanga Research lebih mengutamakan pertumbuhan berbanding pendapatan bagi tempoh tiga hingga enam bulan akan datang dengan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) (outperform; TP: RM24.50) sebagai pilihan utama berdasarkan rekod prestasi cemerlang dan potensi pengembangan industri huluan dan hiliran di luar Malaysia.

Katanya, pada Disember 2023, KLK memperoleh pegangan yang besar antara 90% hingga 92% dalam dua ladang kelapa sawit, seluas 7,173 hektar, dengan mereka menguruskannya bagi Batu Kawan Bhd.

“Kemudian pada awal Februari 2024, KLK membeli baki 4.57% ekuiti dalam IJM Plantations yang bukan miliknya. IJM Plantations Berhad (kini KLK Sawit Nusantara) mengendalikan kira-kira 62,000 hektar kawasan tanaman kelapa sawit.

“KLK juga menawarkan lebih nilai berbanding rakan pesaing yang memiliki modal besar," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor itu. - DagangNews.com