Maybank IB unjur harga minyak sawit mentah meningkat melebihi paras RM4,200 satu tan

Business & Finance
15 Feb 2024 • 9:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maybank IB unjur harga minyak sawit mentah meningkat melebihi paras RM4,200 satu tan

herman

15/02/2024 - 09:49

KUALA LUMPUR 15 Feb - Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan meningkat melebihi RM4,200 satu tan pada Februari dan Mac 2024, kata Maybank Investment Bank.

Kata firma itu, pengeluaran ketika ini menyusut sedangkan permintaan dalam pasaran eksport minyak sawit mentah kekal tinggi menjelang Ramadan tidak lama lagi.

Menurutnya, bagaimanapun harga MSM dijangka berada pada aliran menurun selepas Mac berikutan penuaian minyak sawit di Amerika Selatan di samping jangkaan pengeluaran kembali pulih pada separuh kedua tahun 2024.

"Kami berpendapat bahawa stok minyak sawit Malaysia akan jatuh di bawah 2 juta tan menjelang akhir Februari dan kami mengulangi pandangan bahawa harga MSM mungkin melebihi RM4,200 satu tan pada Februari dan Mac," katanya dalam nota kajian.

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, stok minyak sawit diunjur berkurang bawah 2 juta tan pada akhir bulan ini setelah mengambil kira kemungkinan eksport minyak sawit pada Februari boleh dikekalkan sekitar 1.1 juta tan hingga 1.2 juta tan.

Katanya, ini bagaimanapun akan membantu mengukuhkan lagi harga MSM dalam jangka pendek atas faktor bekalan yang terhad.

Seuhubungan itu, Maybank IB mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap sektor perladangan dengan saranan 'Beli' kepada saham Ta Ann Holdings Berhad dan Sarawak Oil Palm Berhad (SOP).- DagangNews.com