Kos operasi tinggi, MIDF Research semak turun unjuran pendapatan Kossan sebanyak 7.7% bagi FY24

Business & Finance
23 Feb 2024 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos operasi tinggi, MIDF Research semak turun unjuran pendapatan Kossan sebanyak 7.7% bagi FY24

azan

23/02/2024 - 09:40

KUALA LUMPUR 23 Feb - MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan Kossan Rubber Industries Bhd bagi FY24 sebanyak 7.7% kesan daripada kos operasi yang tinggi dan margin keuntungan yang rendah.

Katanya, kumpulan itu akan terus berdepan cabaran dalam landskap perniagaan dan ia akan diburukkan lagi dengan lebihan bekalan serta saingan sengit daripada pengeluar sarung tangan dari China dan Thailand.

Firma penyelidikan itu menjangkakan purata harga jualan (ASP) segmen sarung tangan kekal tidak berubah bagi jangka pendek dikekang oleh dinamik lebihan bekalan yang berterusan serta saingan sengit.

"Walaupun terdapat jangkaan pemulihan sederhana dalam permintaan sarung tangan apabila pelanggan kehabisan stok tetapi pemulihan itu lebih perlahan daripada jangkaan.

"Kami juga mengunjurkan situasi lebihan bekalan itu akan berterusan sehingga FY24 dan terus memberikan cabaran berterusan kepada industri," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM806,000 pada 4QFY23 berbanding kerugian bersih RM2.49 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Perolehan syarikat turun 16.88% kepada RM400.15 juta pada 4QFY23 berbanding RM481.44 juta tahun lepas disebabkan hasil yang lebih rendah.

Hasil bahagian sarung tangan getah menurun 18.15% kepada RM329.58 juta pada 4QFY23 berbanding RM402.65 juta pada 4QFY22 disebabkan ASP dan jumlah jualan yang lebih rendah.

MIDF Research menurunkan penarafan kumpulan kepada 'jual' berbanding 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM1.35 sesaham.

Firma penyelidikan itu percaya bahawa saham kumpulan itu dinilai terlalu tinggi dan tidak menggambarkan prestasi kurang memberangsangkan dalam industri sarung tangan.- DagangNews.com