
PUTRAJAYA - Projek pembangunan Kota Madani dengan keluasan 41.28 hektar di Presint 19 di sini akan dibangunkan dengan kos RM4 bilion dengan inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, walaupun pembangunan untuk kuarters kakitangan awam adalah mendesak namun kedudukan kewangan kerajaan tetap perlu diambil kira.

“Untuk projek ini kerajaan bersetuju supaya ianya dijalankan secara PFI, dan jemaah menteri bersetuju melantik PJH (Putrajaya Holding) sebagai pelaksana projek dengan kos pembangunan diluluskan kerajaan adalah RM4 bilion.
“Namun pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan meneliti kos pembangunan dan akan diperincikan selepas ini melalui proses tertentu dan kerajaan akan sentiasa menekankan kepada penjimatan.
“Tatacara perolehan, pelantikan kontraktor menjalankan projek akan dilakukan melalui proses tender, yang akan dibuka dalam masa terdekat dengan projek bagi fasa satudijangka bermula pada suku ketiga atau sekitar September nanti,” katanya pada sidang media selepas taklimat pembangunan Kota Madani di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Presiden Institut Perancang Malaysia, Datin Mazrina Abdul Khalid.
Majlis pecah tanah projek Kota Madani akan diadakan pada Khamis ini.
Sementara itu Zaliha berkata, nama Kota Madani akan terus dikekalkan bagi pembangunan projek terbabit.
“Setakat ini kita bercadang mengekalkan nama Kota Madani sebab ini adalah hasrat kerajaan hari ini dan khususnya Perdana Menteri.
“Ia tidak ada kaitan dengan ‘cakap-cakap’ di luar nama Kota Madani ini tidak akan kekal apabila kerajaan bertukar atau sebagainya, sebab yang paling penting adalah konsep pembangunannya yang menyeluruh.
“Kalau kita berjaya menjalankan konsep ini di Putrajaya, kita boleh jayakan ditempat-tempat lain nanti,” katanya.
Tambah beliau, ketika projek Kota Madani diumumkan, timbul pelbagai persepsi yang kurang tepat dibuat pihak tertentu.
“Setelah mendengar taklimat komprehensif hari ini, yang ini kita kena beritahu rakyat, kalau lihat Kuala Lumpur, kota yang telah dibina sekian lama, untuk membuat sesuatu yang komprehensif dan inklusif sangat sukar.
“Sebab itu kita datangkan konsep baharu ini, supaya pembangunan di masa akan datang, konsep yang menyeluruh dan penuh kepelbagaian ini boleh diambil kira,” katanya.
Sementara itu dalam taklimatnya, Mazrina berkata, pelan induk perbandaran itu diilhamkan daripada warisan seni bina Malaysia, yang menggabungkan identiti budaya dengan reka bentuk bandar moden bagi mewujudkan persekitaran kediaman yang tersendiri.
Beliau berkata, pembangunan itu akan dipandu oleh visi CHASE, yang berhasrat untuk mengubah Wilayah Persekutuan Malaysia menjadi persekitaran bandar yang Bersih, Sihat, Maju, Selamat dan Mesra Alam.
“Rangka kerja ini menekankan kepada perancangan bandar mampan dan bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk melalui infrastruktur inklusif yang bersedia untuk masa depan serta amalan mesra alam sekitar.
Pembangunan ini akan menampilkan infrastruktur digital termaju, sistem mobiliti hijau, serta integrasi kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong kehidupan bandar yang rendah karbon dan cekap tenaga.
“Pelan ini merangkumi sekitar 10,000 unit kediaman bertingkat tinggi berketumpatan tinggi, yang direka untuk menampung lebih 30,000 penduduk.
“Kemudahan tambahan seperti klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan masjid akan dibina berhampiran kawasan kediaman, bagi mengukuhkan konsep perbandaran kendiri yang berfokus kepada komuniti,” katanya.
Mazrina turut menyatakan bahawa projek ini akan menempatkan kuarters kerajaan dan mengandungi unsur hijau, termasuk inisiatif penjimatan tenaga, yang menjadi teras kepada pembangunan Kota Madani.
Menurutnya, Kota Madani akan dibangunkan dalam tiga fasa, dengan Fasa 1 melibatkan kira-kira 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah bertingkat tinggi, yang disasarkan siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2027. - 24 Jun, 2025
The post Kos RM4 bilion bangunkan Kota Madani menerusi inisiatif pembiayaan swasta appeared first on Scoop.




