Kos semakin bertambah, RHB Research ramal sektor telekomunikasi terus berdepan tekanan pada separuh kedua 2025

05/08/2025 - 10:49
Gambar: Freepik Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Sektor telekomunikasi diramal kekal mencabar pada separuh kedua tahun ini, apabila pengendali rangkaian mudah alih (MNO) terus menawarkan perkhidmatan mampu milik di sebalik tekanan kos yang semakin bertambah.
RHB Research berkata, purata hasil setiap pengguna (ARPU) berkemungkinan terus berada di bawah tekanan, dengan syarikat telekomunikasi melanjutkan rebat dan promosi bagi mengekalkan pelanggan dalam pasaran yang semakin kompetitif.
“Tekanan terhadap ARPU industri dijangka kekal tinggi disebabkan pemberian rebat.
“Secara keseluruhan, kami percaya peningkatan caj borong 5G (berikutan trafik 5G yang lebih tinggi) serta tekanan perbelanjaan operasi yang dipacu inflasi akan memberi kesan kepada pendapatan industri sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda), walaupun terdapat kawalan kos yang baik oleh MNO," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan utama yang dijangka menjelang akhir tahun ini ialah pengunduran sepenuhnya kerajaan daripada Digital Nasional Bhd (DNB).
Katanya, Maxis Bhd dan CelcomDigi Bhd akan menggunakan opsyen jual mereka untuk memperoleh pegangan 41.7% milik Kementerian Kewangan dalam penyedia borong 5G nasional, yang akan menghasilkan struktur pemilikan sama rata antara Maxis, CelcomDigi dan YTL Communications.
Dengan perubahan ini, model operasi 5G dijangka berubah, sekali gus berkemungkinan mencetuskan semakan semula terhadap struktur harga borong sedia ada.
Sementara itu, Standard Mandatori bagi Penetapan Harga Akses (MSAP), yang mengawal harga jalur lebar, dijadualkan untuk disemak semula menjelang akhir tahun 2025.
“Namun, berdasarkan retorik sebelum ini dan landskap harga jalur lebar yang sudah kompetitif, kami berpendapat pelarasan terhadap harga akses akan dapat diuruskan dan kadar tersebut akan dirunding secara komersial.
“Kami juga berpendapat adalah mungkin pihak pengawal selia akan melanjutkan tempoh sah harga akses semasa (2023–2025) sambil menambah kadar borong 5G (yang pada masa ini belum dikawal selia) ke dalam senarai akses,” katanya.
RHB Research berkata, pelaksanaan Fasa 2 JENDELA pada bulan September, bersama dengan pelancaran rangkaian 5G kedua, dijangka memberi manfaat kepada syarikat menara dan penyedia infrastruktur seperti Kumpulan OCK, Reach-Ten Holdings, dan Redtone International.
Sementara itu, Axiata Group Bhd menyaksikan harga sahamnya pulih daripada paras terendah dalam beberapa tahun pada April, kini menarik perhatian pelabur berikutan jangkaan kemungkinan pelaksanaan pengewangan aset dalam tempoh tiga hingga sembilan bulan.
“Aliran berita berturut-turut mengenai kemungkinan pengewangan aset telah menyebabkan harga saham Axiata pulih daripada paras terendah dalam beberapa tahun pada bulan April," katanya.
Firma penyelidikan tersebut menganggarkan edotco, unit menara Axiata, boleh dinilai antara RM4.2 bilion hingga RM8.3 bilion, berdasarkan gandaan nilai perusahaan/EBITDA sebanyak 8 hingga 12 kali.
RHB Research berkata hasil daripada pelupusan aset itu berpotensi menghasilkan penjimatan faedah yang ketara melalui pembayaran balik hutang syarikat induk yang didenominasikan dalam dolar AS, yang merangkumi 42% daripada jumlah pinjaman Axiata.- DagangNews.com
standard

