Kos terapi autisme cecah RM3,000 sebulan

LocalHealth & Fitness
8 Aug 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kos terapi autisme  cecah RM3,000 sebulan

PETALING JAYA: Tempoh me­nunggu yang panjang untuk mendapatkan terapi di hospital kerajaan memaksa ramai ibu bapa kanak-kanak autisme beralih ke pusat swasta, meskipun terpaksa menanggung kos sehingga RM3,000 sebulan.

Bagi kakitangan kerajaan, Mohd. Zulfadli Sharifudin, 37, proses mendapatkan diagnosis awal sahaja mengambil masa antara dua hingga tiga bulan, manakala tempoh menunggu bagi sesi intervensi seperti te­rapi cara kerja, terapi pertuturan dan bahasa serta penilaian perkembangan boleh mence­cah enam hingga sembilan bulan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan anak autisme hanya berpeluang mengikuti satu atau dua sesi bagi setiap intervensi dalam tempoh setahun.

“Anak autisme tidak boleh dibiarkan tanpa intervensi kerana tempoh awal perkembangan merupakan fasa paling penting untuk membantu mereka menguasai kemahiran penting sebelum memasuki alam persekolahan.

“Mereka sering berdepan ma­salah komunikasi seperti lambat bercakap atau tidak boleh bercakap, sukar berinteraksi dengan orang lain serta mudah mengalami tantrum. Tanpa terapi yang konsisten, ibu bapa juga sukar memahami keperluan dan tingkah laku mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Justeru, beliau dan isteri mengambil keputusan menghantar anak mengikuti Program Intervensi Awal (Early Intervention Programme, EIP) di pusat swasta sejak anaknya berusia dua tahun.

Katanya, kos program yang pada 2022 berjumlah RM1,550 sebulan kini meningkat kepada RM1,890 selepas beberapa kali semakan harga dan tidak termasuk aktiviti sokongan lain seperti terapi renang serta terapi berkuda.

“Secara keseluruhan, perbe­lanjaan untuk terapi boleh men­cecah RM3,000 sebulan,” katanya.

Seorang lagi ibu kepada dua anak autisme, Tun Fatheana Qhathija Tun Shaharum, 37, berkata, kebanyakan ibu bapa terpaksa mendapatkan terapi di pusat swasta kerana tempoh menunggu di hospital kerajaan, terutama bagi terapi pertuturan terlalu lama.

Menurutnya, kos Program Intervensi Awal (EIP) secara separuh hari lazimnya bermula sekitar RM1,500 sebulan, manakala program sehari penuh melebihi RM2,200 bergantung kepada lokasi pusat.

“Di sesetengah hospital kerajaan, terapi cara kerja boleh dapat sebulan sekali tetapi terapi pertuturan dua tahun sekali sahaja. Terapi pertuturan lebih mahal dan sukar didapati kerana kekurangan tenaga pakar di negara ini.

“Pusat swasta lebih mudah mendapatkan temu janji kerana sesi terapi boleh dijadualkan dengan lebih kerap. Namun, kosnya jauh lebih tinggi apabila satu sesi terapi selama sejam boleh mencecah RM180 atau lebih,” katanya yang merupakan Koordinator Jualan.

Tun Fatheana berkata, beliau pernah membelanjakan kira-kira RM1,800 sebulan untuk menghantar anak sulungnya mengikuti EIP separuh hari selain terapi mingguan berharga sekitar RM180 setiap sesi.

Namun, bagi anak keduanya, kekangan kewangan memaksanya memilih terapi mingguan sebanyak empat sesi sebulan dengan kos sekitar RM700, di samping mendapatkan rawatan susulan di hospital kerajaan. – UTUSAN

The post Kos terapi autisme cecah RM3,000 sebulan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved