Kos ternakan meningkat, harga lembu dijangka naik

LocalBusiness & Finance
18 Apr 2026 • 5:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kos ternakan meningkat, harga lembu dijangka naik
Jamal (kiri) bersama Mohd Zolkafly ketika ditemui pemberita sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan di Pusat Konvensyen Tun S Samy Vellu di sini pada Sabtu.

IPOH – Golongan penternak mula merasai tekanan peningkatan kos operasi susulan kenaikan harga makanan ternakan dan bahan berkaitan sejak kebelakangan ini.

Usahawan ternakan yang juga penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah berkata, kenaikan kos tersebut memberi kesan ketara kepada pengusaha sehingga memaksa mereka mempertimbangkan pelarasan harga jualan ternakan.

Menurutnya, antara kos yang meningkat termasuk makanan lembu seperti dedak dan rumput napier selain kos pengangkutan.

"Memang kos meningkat. Makanan lembu semua naik. Saya ada dua lori, satu tangki penuh hampir RM1,000. Dedak, napier semua naik.

"Jadi untuk tahun ini, pengusaha mungkin perlu naikkan sedikit harga lembu, jika tidak kita akan menanggung kerugian," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun di Pusat Konvensyen Tun S Samy Vellu di sini pada Sabtu.

Beliau yang mengusahakan ladang ternakan di Bukit Merah, Bagan Serai berkata, kenaikan harga makanan ternakan dianggarkan sekitar 30 hingga 40 peratus berbanding sebelum ini.