SUNGAI SIPUT – Kerajaan Perak sedang merangka pelan bagi simpanan stok makanan sebagai langkah memastikan bekalan makanan mencukupi dalam tempoh jangka panjang susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perancangan itu merangkumi penyimpanan bahan asas seperti ikan, beras dan keperluan makanan lain untuk tempoh antara enam bulan hingga setahun.
Menurutnya, pelan tersebut kini berada pada peringkat kajian dan penelitian termasuk melibatkan keperluan logistik di setiap daerah serta kemampuan kewangan kerajaan negeri.
"Perkara ini memang dalam tindakan kita. Kita sedang meneliti bentuk pelaksanaan termasuk bekalan stok ikan, beras dan keperluan asas lain bagi kepentingan rakyat.
"Ia juga bergantung kepada kedudukan kewangan semasa kerajaan negeri untuk direalisasikan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Pusat Konvensyen Tun S. Samy Vellu di sini pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan mewujudkan Gudang Makanan Perak (GMP) seperti dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri telah lebih awal mengambil langkah kesiapsiagaan susulan krisis global termasuk konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada rantaian bekalan dan kos makanan.
Katanya, semua golongan termasuk petani, penternak, nelayan, pesawah serta pekerja industri diambil kira dalam perancangan tersebut.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut mengambil kira alternatif sumber protein selain ikan seperti ayam dan telur bagi memastikan bekalan makanan terus mencukupi.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa serta memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.
Terdahulu, Mohd Zolkafly menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Sungai Siput yang menerima kehadiran luar jangka apabila dianggarkan antara 3,000 hingga 4,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan tersebut.
Dalam Sidang DUN Perak pada Khamis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan GMP sebagai satu platform bersepadu bagi memperkukuh sistem sekuriti makanan, sekali gus menstabilkan harga dan menjamin kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Menurutnya, cadangan strategik itu bukan sahaja menyentuh sektor pertanian, malah melibatkan aspek keselamatan negeri, kestabilan ekonomi serta kebajikan rakyat.


