Kos tersembunyi lonjak harga simen

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2026 • 7:14 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kos tersembunyi lonjak harga simen

KOTA BHARU: Projek pembinaan di negara ini berisiko menjadi ‘projek sakit’ susulan kenaikan harga simen disebabkan kos tersembunyi yang didakwa dikenakan oleh pihak pembekal.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz berkata, walaupun kerajaan dimaklumkan harga simen hanya meningkat pada kadar minimum, hakikatnya kontraktor menanggung pelbagai ‘kos tersembunyi’ yang menyebabkan harga sebenar bahan binaan melonjak.

Katanya, harga simen ketika ini meningkat antara RM3 hingga RM4 sekampit simen.

“Itu belum ditambah dengan caj pengangkutan. Di atas kertas harga simen mungkin tidak berubah tetapi pembekal mengenakan caj pada komponen lain. Akhirnya semua kos itu ditanggung kontraktor.

“Maklumat yang diterima kerajaan berbeza dengan realiti di lapangan kerana kerajaan hanya merujuk kepada pengilang dan pembekal, sedangkan kontraktor menanggung kos sebenar yang jauh lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Rosdi berkata, keadaan itu memberi tekanan besar kepada industri pembinaan kerana kontraktor tidak boleh menangguhkan pembelian bahan binaan selagi projek masih berjalan.

Katanya, memburukkan lagi keadaan harga konkrit siap bancuh yang digunakan secara meluas dalam sektor pembinaan turut meningkat kira-kira RM50 bagi setiap meter padu.

“Ia sekali gus menambah  beban kos pembinaan. Kontraktor kecil dan sederhana paling terkesan kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menyerap kenaikan kos secara berterusan.

“Situasi ini berpotensi memburukkan lagi prestasi pelaksanaan projek kerajaan apabila semakin banyak kontraktor gagal menampung peningkatan kos.

“Jabatan Kerja Raya sendiri mengakui ketika ini terdapat 58 projek sakit di bawah Kementerian Kerja Raya. Itu belum termasuk projek yang diperlahan pelaksanaannya dan banyak lagi projek yang sedang menuju ke arah projek sakit jika tiada pelarasan dibuat,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan menilai semula kaedah mendapatkan data harga bahan binaan dengan tidak bergantung sepenuhnya kepada maklumat daripada pengilang, pembekal atau Jabatan Perangkaan.

Ujarnya, kerajaan perlu mendapatkan gambaran sebenar daripada kontraktor, persatuan kontraktor, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta agensi pelaksana supaya dasar serta keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan keadaan semasa industri.

“PKMM mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan mekanisme Perubahan Harga (VOP) atau menyemak semula jadual kadar harga kerja bagi mengelak lebih banyak projek pembinaan berdepan masalah kelewatan,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan kos bahan binaan itu akhirnya turut dirasai rakyat khususnya individu yang membina rumah sendiri.

Katanya, ini kerana mereka membeli simen dalam kuantiti kecil pada harga lebih tinggi berbanding kontraktor yang membuat pembelian secara pukal.

“Jika kontraktor beli secara pukal mungkin boleh dapat sekitar RM25 sekampit tetapi orang kampung yang beli dalam kuantiti kecil terpaksa membayar sehingga RM27 atau RM28 sekampit,” katanya.-UTUSAN

The post Kos tersembunyi lonjak harga simen appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved