
KUALA LUMPUR - Kota Madani yang dilancarkan pagi tadi bukan projek peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya ia adalah milik rakyat dan masa depan bangsa.
Menegaskan perkara itu, Anwar berkata, kota itu bukan sekadar berbentuk fizikal, tetapi ia adalah falsafah dan cita-cita.
Menurut beliau, ia selaras seperti yang diungkap pemikir dan pengembara ulung Islam, Ibnu Khaldun bahawa kota ialah pusat umran hadhari, yakni tempat bertemunya idealisme, teknologi dan nilai.
“Ia adalah sebuah kota yang bukan sahaja menyediakan perumahan mampu milik buat penjawat awam, tetapi juga merupakan cita kehidupan yang berteraskan nilai-nilai yang universal seperti iman, ihsan, inovasi dan kelestarian.
“Daripada kemudahan asas seperti tadika di aras bawah ke masjid di hadapan, dari laluan pejalan kaki ke sekolah dan juga gimnasium serta ruang-ruang hijau, ia direncana dengan teliti bagi menyantuni kehidupan rakyat terbanyak.
Tegas Perdana Menteri, kerajaan tidak mahu meneruskan budaya membina mercu serta pelbagai gedung megah tanpa roh.
“Yang kita gerakkan kini adalah bandar yang manusiawi, yang menyantuni rakyat terbanyak, dari warung sederhana hingga ke ruang tamu yang selesa buat anak-anak bangsa,” katanya.
Jelas beliau, banyak pihak beranggapan dan berceloteh, kononnya Kota Madani sama seperti projek gajah putih lain yang kini hanya tinggal nama.
Justeru katanya, projek ini akan dibiayai secara usahasama Kerajaan-swasta (PPP), seperti banyak bangunan utama yang didirikan di Putrajaya.
“Pendekatan ini mengurangkan beban kewangan langsung Kerajaan dan mempercepat pelaksanaan projek.
“Ia bukan konsep baharu, tetapi ia berkonsep menambah baik, jauh sekali dibina ‘from scratch’ yang tentunya menelan belanja yang besar. Bezanya ia diangkat dengan ruh dan sifat manusiawi yang tinggi,” katanya.
Anwar berkata, pembangunan berkenaan yang menelan kos RM4 bilion bukan untuk bermegah, tetapi ia adalah sinar kepada 10,000 keluarga.
“Tidak ada komisen, jauh sekali kebocoran dan ketirisan.
“Hanya iltizam dan tekad untuk mempercepat, mempermudah, menyempurnakan,” katanya. - Getaran, 26 Jun 2025



