
KOTA MARUDU: Kota Marudu diaktifkan sebagai pusat sehenti pengeluaran bahan tanaman buah-buahan bagi kawasan utara Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan bernilai RM450,000 bagi mengaktifkan pusat sehenti ini.
“Projek ini akan dilaksanakan sedikit masa lagi, ia bukan projek baharu, memang Pusat Pengumpulan buah-buahan sudah ada namun keadaannya masih memerlukan pembaikan dan bahan tanaman baru untuk kita masukkan.
“Kementerian dan agensi-agensi berkaitan akan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membantu petani, penoreh getah, penternak ikan dan penternak lain dengan penekanan pada penyediaan perkhidmatan terbaik, kemudahan, dan mentor untuk memastikan kejayaan dan kemajuan sektor pertanian di negeri ini.
“Kehadiran pegawai di lapangan akan menguatkan semangat petani dan meningkatkan usaha mencari rezeki.
“Diharapkan dalam lima tahun akan datang keadaan pertanian, penternakan dan industri makanan akan lebih baik,” katanya pada Majlis Perasmian Program Jelajah Kebun Dapur pada Selasa.
Menyentuh mengenai Program Jelajah Kebun Dapur, Jamawi berkata Parlimen Kota Marudu merupakan lokasi kelapan pelaksanaan program berkenaan.
“Inisiatif Kebun Dapur bertujuan untuk menghidupkan semula semangat pertanian dalam kalangan rakyat dengan menyediakan sokongan dan bimbingan.
“Pendekatan baharu memerlukan masyarakat berusaha dahulu sebelum bantuan diberikan.
“Pegawai pertanian daerah dan kementerian dilantik sentiasa bersedia untuk membantu mengurus dan memantau aktiviti kebun dapur di daerah masing-masing,” jelasnya.
Beliau memaklumkan inisiatif itu menyasarkan untuk menjelajah ke semua 25 parlimen seluruh Sabah.





