
KLANG – Suasana di sebuah pusat beli-belah di Jalan Meru di sini, gempar dengan penemuan mayat lelaki yang terjatuh dari bangunan itu hari ini.
Mangsa yang merupakan rakyat tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu dijumpai terlentang di kaki lima kawasan itu kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati pusat beli-belah itu mempunyai empat tingkat parkir kenderaan.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan itu dan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya.
Menurut Ramsay, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk dibedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Inspektor Mohamad Hadir Hassan di talian 012-2134515 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi beberapa gambar dan video memaparkan penemuan mayat tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Maut terjatuh tingkat empat pusat beli-belah appeared first on Kosmo Digital.






