amree12/11/2026 - 11:10 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Sebanyak 211 syarikat digantung akses kepada Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) sehingga 30 Oktober 2026 kerana didapati gagal dalam mematuhi segala syarat pengedaran dan penjualan minyak masak paket bersubsidi.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, tindakan tegas itu diambil bagi memastikan pengurusan bekalan minyak masak bersubsidi secara lebih terkawal, selain membendung isu ketirisan dalam rantaian pengedaran produk berkenaan.
Menurut kementerian, sebanyak lapan kes pelanggaran melibatkan penjualan dan pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh warga asing turut direkodkan sejak pelaksanaan sistem eCOSS Bergerak serta penguatkuasaan peraturan berkaitan pada 1 Mac lalu.
Pelaksanaan eCOSS sejak 2023 ujarnya, membolehkan pemantauan rantaian pengedaran dan transaksi dilakukan secara digital, termasuk pengesahan identiti pengguna menerusi kaedah 'electronic Know Your Customer atau eKYC dan platform MyDigital ID.
"KPDN turut memperkenalkan mekanisme zon pengedaran minyak masak serta had pembelian maksimum tiga paket bagi setiap transaksi bagi memastikan bekalan mencukupi dan mengurangkan ketirisan," katanya dalam jawapan bertulis menerusi laman web Parlimen.
Bagi memudahkan urusan pembelian, khususnya golongan warga emas dan penduduk luar bandar, KPDN menambah baik kaedah transaksi termasuk integrasi eCOSS dengan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi pengesahan menerusi MyKad.

Bagaimanapun kementerian tersebut menambah, keberkesanan serta kesesuaian mekanisme digital itu akan dinilai terlebih dahulu sebelum sebarang pertimbangan dibuat untuk memperluaskannya kepada barangan bersubsidi yang lain pula selepas ini.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 5,893 kes ketirisan dan penyelewengan diesel, petrol serta minyak masak direkodkan di seluruh negara dari 1 Januari 2023 hingga 31 Oktober lalu, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM82.85 juta.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 2,763 kes membabitkan diesel dengan nilai rampasan RM59.67 juta, diikuti petrol sebanyak 1,722 kes bernilai RM5.43 juta dan minyak masak paket sebanyak 1,408 kes dengan nilai rampasan RM17.74 juta," tegas KPDN.
Usaha penguatkuasaan akan terus diperkukuh menerusi operasi berasaskan risikan, penggunaan data, pemantauan rapi serta kerjasama strategik dengan agensi lain, termasuk melalui pelaksanaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu) yang berkuat kuasa sejak 16 Mac 2026.
Secara keseluruhan, ia turut menegaskan mekanisme secara pendigitalan akan terus ditambah baik bagi mengimbangi usaha membendung ketirisan dengan keperluan memastikan pengguna mendapat akses mudah kepada barangan bersubsidi. - DagangNews.com





