KPDN Johor ambil tindakan terhadap stesen minyak jual RON95 kepada kereta asing

LocalPolitics
4 Jan 2026 • 6:06 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah stesen minyak di negeri ini atas kesalahan di bawah Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata tindakan itu susulan siasatan mendapati pengusaha stesen minyak terbabit disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan berhubung larangan penjualan minyak petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Menurutnya, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) stesen minyak berkenaan telah diambil dan semakan dibuat bagi membantu siasatan.

“Kita jalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas stesen minyak berkenaan susulan aduan serta penularan video di media sosial berkaitan dakwaan pengisian minyak RON95 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing dengan taktik menutup sebahagian nombor pendaftaran kenderaan bagi mengelak dikesan.

“Siasatan mendapati pembelian tersebut dibuat menggunakan kaedah tanpa tunai di salah satu pam di stesen minyak berkenaan tanpa membabitkan pengesahan identiti di kaunter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati individu terbabit hanya sempat mengisi sebahagian daripada jumlah pembelian sebelum perbuatan itu dihentikan.

KPDN Johor menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan kawalan bekalan demi memastikan hak pengguna tempatan dilindungi.