JOHOR BAHRU – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes tular pengisian petrol RON95 ke dalam tong plastik melebihi had yang dibenarkan di sebuah stesen minyak sekitar Skudai, baru-baru ini.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 selepas video kejadian berkenaan tersebar di media sosial.
"KPDN Johor telah menjalankan siasatan lanjut termasuk menjejaki serta mengunjungi alamat terakhir kedua-dua individu terbabit. Bagaimanapun, mereka masih gagal dikesan setakat ini.
“Sehubungan itu, pihak KPDN Johor memohon individu-individu berkenaan supaya segera tampil memberi kerjasama dengan hadir ke Pejabat KPDN Negeri Johor dalam kadar segera bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan turut diminta menyalurkannya kepada pihak KPDN bagi membantu siasatan.
Pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, MOF akan mengambil tindakan dengan menyekat kad pengenalan yang telah digunakan dalam transaksi pembelian petrol RON95 itu serta pemilik kenderaan daripada terus menikmati BUD195.

