KPDN Johor Siasat Kenderaan Singapura Isi RON95, Teliti CCTV Lengkapkan Siasatan

LocalPolitics
5 Aug 2025 • 4:23 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sedang menyiasat insiden tular melibatkan sebuah kenderaan mewah bernombor pendaftaran Singapura yang didakwa mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri, kelmarin.

KPDN Johor ke lokasi untuk pemeriksaan

Menurut laporan Harian Metro, Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen berkenaan bagi melengkapkan siasatan.

image is not available

Foto: Harian Metro

“Pegawai KPDN telah ke lokasi semalam untuk membuat pemeriksaan, mengumpul data, dan menonton rakaman CCTV. Siasatan juga termasuk mendapatkan kenyataan pengadu yang membuat aduan rasmi menerusi media sosial.

“Kami turut mendapatkan penjelasan daripada pemilik stesen minyak untuk mengetahui keadaan sebenar serta menilai tahap tanggungjawab pengurusan. Jika terbukti berlaku kecuaian, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Menurut beliau, jika berlaku pelanggaran syarat lesen, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 12a Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

Mengulas operasi pemantauan penyalahgunaan RON95, Lilis Saslinda menjelaskan, pemeriksaan ke atas stesen minyak di seluruh Johor dilakukan secara berkala setiap minggu dengan kekuatan 200 pegawai penguat kuasa.

image is not available

Foto: Sinar Harian

“Pemantauan meliputi pematuhan pengurusan stesen, dokumentasi, ukuran alat pam serta isu penyalahgunaan RON95 oleh warga asing. Namun, dengan jumlah anggota sedia ada, pengawasan tidak dapat dijalankan di semua stesen sepanjang masa kerana kami juga perlu memantau lokasi bekalan lain seperti pasar dan pasar raya,” ujarnya.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesan penyalahgunaan RON95 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Maklumat boleh disertakan dengan gambar atau video, dan dimaklumkan kepada petugas atau pemilik stesen minyak berkenaan.

Sumber: Harian Metro (Mohamed Farid Noh)