KPDN Melaka tingkat operasi penguatkuasaan sepanjang TMM 2024

6 Feb 2024 • 5:07 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka akan meningkatkan operasi penguatkuasaan serta pemantauan harga jualan makanan, khususnya di kawasan tumpuan pelancong sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Pengarah KPDN negeri Norena Jaafar berkata operasi berkenaan, dilaksanakan untuk mengesan peniaga yang menaikkan harga sesuka hati dengan tujuan mengambil kesempatan, bagi mengaut keuntungan sempena TMM2024.

“Setiap hari 10 pasukan penguat kuasa melibatkan 40 anggota akan turun padang melakukan pemantauan dan operasi penguatkuasaan, bagi mengesan peniaga yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 .

“Kita mahu pastikan tiada peniaga sengaja menaikkan harga makanan dan minuman terutama kepada pelancong atau orang luar Melaka, pada musim cuti atau hujung minggu,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Melaka 2024 di sebuah pasar raya di Cheng di sini yang dilancarkan oleh Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.

Norena berkata peniaga juga diingatkan tidak menjual makanan dan minuman pada harga berbeza, iaitu lebih mahal pada hujung minggu berbanding hari biasa.

Beliau berkata perbuatan peniaga berkenaan bukan sahaja merupakan satu kesalahan, malah juga boleh memberi imej negatif kepada Melaka sekali gus menyebabkan pelancong serik untuk datang ke negeri itu.

Dalam perkembangan lain, Norena berkata sebanyak 27 kes dengan jumlah kompaun sebanyak RM3,100 melibatkan pelbagai kesalahan kepenggunaan, direkodkan dalam tempoh 1 Jan hingga 4 Feb lepas.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes merupakan kesalahan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, AKHAP (lapan kes), Akta Kawalan Bekalan 1961 (empat kes), Akta Timbang dan Sukat 1972 (tiga kes) dan Akta Cap Dagang 2019 (satu kes),“ katanya.

Katanya dalam tempoh itu juga, pelbagai barangan turut dirampas melibatkan nilai lebih RM108,000 dan sebanyak 143 aduan pelbagai isu kepenggunaan diterima. -Bernama