KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan pemeriksaan ketulenan emas di premis sekitar Jalan Masjid India di sini menjelang musim perayaan Aidilfitri.
Pemeriksaan ke atas 10 premis itu dijalankan KPDN Kuala Lumpur bersama KPDN Putrajaya.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, sepanjang pemeriksaan, tiga hingga enam sampel emas dipilih secara rawak daripada setiap premis untuk diuji menggunakan alat X-Ray Fluorescence (XRF) bagi tujuan pengesahan standard ketulenan.
Menurutnya, hasil pengujian menunjukkan bahawa semua sampel logam berharga yang diuji mematuhi ketulenan seperti yang ditandakan dengan peratusan komposisi sebenar.
"Selain itu, KPDN turut menjalankan pemeriksaan tanda harga adakah ia jelas atau mengelirukan, begitu juga alat timbang sukat yang kita dapati pematuhan terbaik di sepanjang premis.
"Kita juga memeriksa resit jualan bagi memastikan ia mengandungi 10 perkara wajib seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Diperbuat Daripada Logam Berharga) 1994.
**media[3458622]**
"Butiran itu ialah nama dan alamat penuh pembekal, tarikh pembelian, nama dan jenis artikel, standard ketulenan artikel, harga logam berharga bagi setiap satu gram, berat artikel, harga artikel, kos pembuatan jika ada.
"Selain itu, tandatangan jurujual serta perihal mengenai bahagian yang dibuat daripada logam berharga yang berlainan standard ketulenannya," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.
Beliau berkata, tindakan akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama mengikut Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011.
Mengenai operasi pemeriksaan itu, Mohd Sabri memaklumkan sebuah premis dikenakan notis selepas tidak mempamerkan harga yang jelas bagi emas tulen 999.9.
"Alasan diberikan peniaga ialah harga kerap bertukar iaitu turun naik.
"Itu tidak boleh diterima dan peniaga perlu cari jalan dan tentukan harga untuk dipamerkan dan dimaklumkan dengan jelas. Pemilik premis telah dikenakan kompaun," ujarnya.
Katanya lagi, KPDN akan terus komited dalam memastikan pematuhan undang-undang berkaitan perdagangan emas dilaksanakan secara konsisten demi melindungi hak pengguna.
"KPDN akan terus komited terutama musim perayaan bagi meneruskan pemantauan di seluruh Kuala Lumpur khususnya.
"Kepada peniaga, KPDN beri peringatan tegas iaitu patuhi peraturan dan jaga hak pengguna. Pengguna pula beri kerjasama dengan kami dengan salurkan maklumat dan aduan melalui saluran ditetapkan," ujarnya.


