Mayat lelaki warga emas ditemui di tepi jalan

10 Mar 2026 • 12:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut (SDR). Gambar hiasan

SEPANG – Mayat seorang lelaki warga emas ditemui dalam keadaan terbaring di tepi jalan berhampiran Taman La Cottage, Taman Putra Perdana, Puchong pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Polis Norhizam Bahaman berkata, lelaki warga tempatan berusia 67 tahun itu ditemui oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran kenderaan miliknya.

"Siasatan awal mendapati si mati dipercayai keluar dari rumah untuk mencari barang-barang terpakai sebelum ditemui terbaring di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

Dalam pada itu, Norhizam menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau palsu berkaitan kejadian berkenaan.

"Sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Major Roslan Rosin di talian 012-3618462.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Balai Polis Putra Perdana di talian 03-80604222 atau IPD Sepang di talian 03-87774222,” katanya.