
NIBONG TEBAL, 22 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang membongkar kegiatan menyeleweng minyak masak bersubsidi di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Sanglang di sini, semalam.
Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) pada kira-kira 3 petang itu menyita 6.4 tan minyak masak bernilai RM20,166 dan menahan tiga pekerja premis termasuk dua lelaki Myanmar berusia 33 hingga 65 tahun.
“Dalam serbuan itu, sebanyak 900 kilogram (kg) minyak masak peket satu kg ditemukan bersama-sama 4,000 plastik bungkusan minyak masak yang telah dipotong, selain kira-kira 5,500 kg yang disimpan di dalam enam tangki Intermediate Bulk Container (IBC).
“Turut disita ialah beberapa peralatan dipercayai berkaitan dengan kegiatan itu termasuk motor pam, hos paip dan tangki simpanan aluminium,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jegan berkata serbuan dan tangkapan dilakukan PPM sebelum kes diserahkan kepada KPDN Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Beliau berkata tiga individu terlibat akan direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Pada 12 Okt, Jegan berkata KPDN Pulau Pinang dan PPM Wilayah Utara turut menjalankan operasi bersepadu di sebuah premis di Penaga yang membongkar kegiatan pemindahan minyak masak peket ke dalam tangki takungan dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM65,450.
“Bagaimanapun, sebarang kaitan langsung antara dua kes ini tertakluk kepada hasil siasatan,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan dua operasi itu juga menunjukkan kepentingan kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan dalam mempertingkatkan pemantauan serta membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan.
-- BERNAMA




