Seleweng minyak masak bersubsidi dibeli daripada pemborong

22 Oct 2026 • 10:28 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Seleweng minyak masak bersubsidi dibeli daripada pemborong
Antara minyak masak bersubsidi yang disita oleh KPDN Kelantan di Pasir Mas pada Rabu.
Image from: Seleweng minyak masak bersubsidi dibeli daripada pemborong
Dua Pegawai KPDN Kelantan memeriksa minyak masak bersubsidi yang cuba diseleweng - FOTO: KPDN

PASIR MAS – Cubaan memindahkan 1.7 tan minyak masak bersubsidi ke dalam dua kenderaan pacuan empat roda terbongkar apabila tiga lelaki tempatan ditahan dalam operasi bersepadu di Kampung Kubang Chenak, Chetok di sini pada Rabu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam operasi jam 3 petang itu pihaknya turut menyita dua kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dan Triton.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi dengan membelinya daripada pemborong sebelum mengumpulkan bekalan berkenaan untuk tujuan penyelewengan," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Ujar beliau, pemeriksaan lanjut turut menemukan enam helai invois pembelian minyak masak dan dua unit cop perniagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

**media[3685688]**

Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak masak serta kenderaan ialah RM69,250.

Hanif Yusabra memberitahu, operasi itu dilaksanakan Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) serta pasukan rondaan KPDN Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

"Kesemua minyak masak, kenderaan dan dokumen berkaitan disita bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved