KPDN Pulau Pinang sasar 960 Program Jualan Rahmah tahun ini

26 Feb 2024 • 8:16 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyasarkan untuk menganjurkan sebanyak 960 Program Jualan Rahmah (PJR) di seluruh negeri itu pada tahun ini.

Pengarah KPDN Negeri S. Jegan (gambar) berkata sasaran itu adalah untuk memberi peluang kepada lebih ramai rakyat di Pulau Pinang menikmati penjimatan dalam mendapatkan barangan keperluan sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan mereka.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas, seramai 527,050 orang menerima manfaat daripada 515 PJR yang diadakan dengan jumlah jualan sebanyak RM18.13 juta.

“Sambutan yang diterima setiap kali PJR diadakan amat menggalakkan bukan saja dalam kalangan penduduk setempat tetapi juga dari luar kawasan, justeru berdasarkan situasi itu maka sasaran tahun ini adalah untuk mengadakan 960 PJR.

“Kita akan masuk ke semua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Pulau Pinang dan PJR di setiap DUN akan diadakan sebanyak dua kali sebulan,” katanya kepada Bernama sambil menambah PJR menawarkan harga barangan keperluan harian lebih murah iaitu antara 10 hingga 30 peratus berbanding kadar biasa di pasaran tempatan.

Jegan juga berkata bagi tempoh sepanjang Januari hingga semalam, sejumlah RM4.9 juta nilai jualan diperoleh daripada 114 PJR dan memberi manfaat kepada 42,200 orang. -Bernama