Syarikat borong, bekal hasil laut tidak mengaku seleweng diesel subsidi lebih RM3.3 juta

LocalBusiness & Finance
13 May 2026 • 4:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Syarikat borong, bekal hasil laut tidak mengaku seleweng diesel subsidi lebih RM3.3 juta
Tertuduh keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu selepas dituduh menyeleweng diesel bersubsidi.

KUANTAN - Sebuah syarikat pemborong dan bekalan hasil laut dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 164 pertuduhan kerana menyeleweng minyak diesel bersubsidi bernilai lebih RM3.3 juta.

Syarikat Atong Fishing Sdn Bhd yang diwakili oleh tiga pengarahnya iaitu Cheng Chor Tong, 71; Cheng Thee Yong, 49, dan Cheng Thee How, 46, sebagai orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, syarikat terbabit didakwa tanpa lesen borong telah berurusan iaitu membeli secara borong barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu lebih dua juta liter minyak diesel daripada Persatuan Nelayan Kawasan.

Menurutnya, resit rasmi persatuan berkenaan, pecahan jumlah pembelian yang terlibat adalah bermula sekitar RM9,900 iaitu nilai bagi 6,000 liter minyak diesel bersubsidi hingga RM101,755.55 iaitu nilai bagi 61,670.03 liter minyak diesel bersubsidi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Feri Lama, Kampung Tanjung Gemuk, Kuala Rompin dalam tempoh bermula pada 8 Januari 2024 hingga 13 Januari 2025.

Syarikat tersebut didakwa telah melanggar Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan di bawah Subperaturan 21 (1) Peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Selain itu, syarikat berkenaan turut didakwa sebagai pemegang permit barang kawalan berjadual didapati gagal mematuhi syarat permit barang kawalan berjadual apabila menyimpan minyak diesel melebihi had 60,000 liter yang dibenarkan dalam permit.

Bagi kesalahan tersebut, syarikat itu telah melakukan kesalahan melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 22(2) Akta yang sama iaitu denda sehingga RM2 juta.

Pendakwaaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Munirah Shamsuddin @Baharum dan Mohd Sophian Zakaria manakala peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi mewakili syarikat terbabit.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua pengarah diikat jamin RM45,000 bagi setiap seorang dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di KPDN Pahang pada awal bulan.

OKS turut diarahkan menyerah posport ke mahkamah hingga selesai dan kes sebut semula pada 4 Jun depan.