Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengarahkan siasatan segera berhubung dakwaan di media sosial bahawa pengguna menerima kuantiti dan kualiti petrol RON95 yang diragui selepas pelaksanaan subsidi bersasar Budi MADANI RON95 (BUDI95).
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata arahan itu dikeluarkan oleh Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, bagi memastikan siasatan dibuat secara telus dan hak pengguna terus terjamin.
Katanya, setakat ini kementerian menerima enam aduan berkaitan kekurangan kuantiti petrol RON95, namun belum menerima laporan rasmi mengenai dakwaan kualiti rendah. Bagi tujuan itu, pegawai penguat kuasa telah menjalankan siasatan awal termasuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak terlibat.
Baca juga:
Menurut beliau, pemeriksaan turut dilakukan ke atas pam minyak selain semakan rekod jualan bagi mengenal pasti kemungkinan berlaku ketidakpatuhan. Hasil semakan setakat ini tidak menunjukkan sebarang pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan KPDN. Beliau turut menegaskan pelaksanaan BUDI95 tidak membabitkan perubahan terhadap kuantiti atau kualiti petrol RON95 di pasaran.
Azman berkata, pemeriksaan berkala akan diteruskan termasuk mengambil sampel secara rawak dan menjalankan ujian ketepatan sukatan bagi memastikan pengguna menerima jumlah sepatutnya.
Beliau turut memberi peringatan bahawa tindakan tegas menanti mana-mana pihak yang menipu pengguna. Syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan berulang. Individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, manakala kesalahan berikutnya membawa denda lebih tinggi atau penjara sehingga lima tahun.
KPDN meminta orang ramai menyalurkan laporan rasmi sekiranya mempunyai maklumat berhubung isu tersebut, sekali gus membantu siasatan susulan.
Sumber: Berita Harian
The post KPDN siasat segera dakwaan pengguna terima kuantiti & kualiti RON95 diragui appeared first on The Reporter.


