KPDNHEP serbu pasar raya sorok minyak masak peket

24 Jul 2022 • 11:22 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SEPANG - Sebuah pasar raya di Kota Warisan di sini diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas dipercayai menyorok minyak masak bersubsidi pada Jumaat.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, serbuan dijalankan berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai berkaitan kegiatan pasar raya tersebut yang menyorok barang kawalan itu.

"Pemeriksaan awal mulanya dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDNHEP yang berpakaian preman dan berjaya merungkai kegiatan pihak pasar raya tersebut.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati wujud perlakuan tidak beretika oleh peniaga iaitu menjual/membekalkan barang kawalan bersubsidi minyak masak peket secara penjualan bersyarat kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

image is not available

Katanya, selain itu pemeriksaan turut mendapati pasar raya tersebut menyimpan sejumlah minyak masak bersubsidi peket 1kg di stor.

"Sebanyak 1,944 unit minyak masak dan beberapa dokumen urus niaga berkaitan kemudiannya dirampas dengan melibatkan nilai sebanyak RM4,860.

"Tindakan dijalankan di bawah Seksyen 19, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 13(1)&(2) Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.