KPJ Healthcare cipta rekod Asia Tenggara, laksana 35 pembedahan jantung robotik dalam tempoh 90 hari

LocalHealth & Fitness
30 Oct 2026 • 2:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KPJ Healthcare cipta rekod Asia Tenggara, laksana 35 pembedahan jantung robotik dalam tempoh 90 hari Image from: KPJ Healthcare cipta rekod Asia Tenggara, laksana 35 pembedahan jantung robotik dalam tempoh 90 hari liza30/10/2026 - 14:25 Pembedahan jantung invasif minimum membolehkan pakar bedah melaksanakan prosedur jantung tertentu melalui hirisan kecil di celah tulang rusuk Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt – KPJ Healthcare Berhad  mencatat rekod di Asia Tenggara apabila pasukan pakar di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) berjaya melaksanakan 35 prosedur pembedahan jantung invasif minima menggunakan teknologi robotik dalam tempoh hanya 90 hari.

 

Pencapaian itu meletakkan DSH2 sebagai antara pusat yang mencatat jumlah pelaksanaan prosedur berkenaan dalam tempoh singkat di rantau ini yang memperlihatkan perkembangan keupayaan pembedahan jantung berteknologi tinggi menerusi KPJ Health System (KPJHS), sistem kesihatan akademik swasta pertama di Malaysia.

 

DSH2 turut menjadi hospital pertama di Lembah Klang merangkumi sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta, yang melaksanakan pembedahan jantung invasif minima dengan teknologi robotik.

 

Berbeza dengan pembedahan jantung  konvensional yang lazimnya memerlukan tulang dada dibelah, kaedah pembedahan invasif minima menggunakan teknologi robotik membolehkan prosedur tertentu dilakukan menerusi hirisan kecil di celah tulang rusuk.

 

Prosedur itu menggunakan Sistem Pembedahan Robotik da Vinci Xi yang menyediakan paparan tiga dimensi yang diperbesarkan serta kawalan instrumen lebih baik, manakala pakar bedah kekal mengawal sepenuhnya pelaksanaan pembedahan.

 

t
Profesor Dr Shahrul Amry Hashim, Pakar Bedah Kardiotorasik Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2) mengendalikan Sistem Pembedahan Robotik da Vinci Xi.

 

Bagi pesakit yang sesuai, pendekatan itu boleh mengurangkan trauma pembedahan dan ketidakselesaan selepas operasi pembedahan selesai, selain berpotensi membolehkan mereka bergerak lebih awal serta mengurangkan tempoh penginapan di hospital.

 

Bagaimanapun, kaedah berkenaan tidak sesuai untuk semua pesakit kerana pemilihan prosedur bergantung pada keadaan klinikal dan penilaian individu.

 

Diketuai pakar bedah kardiotorasik DSH2

Kesemua 35 prosedur itu diketuai Profesor Dr Shahrul Amry Hashim, Pakar Bedah Kardiotorasik DSH2, dengan sokongan pasukan pelbagai disiplin yang merangkumi pakar pembedahan, anestesia, perfusi dan penjagaan selepas pembedahan.

 

  1. t
    KPJ Healthcare, Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid

     

 

Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare, Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid berkata pencapaian itu mencerminkan kemajuan kumpulan berkenaan dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan pakar yang lebih maju.

 

Beliau berkata pembedahan jantung kompleks memerlukan kepakaran klinikal tinggi, pengalaman serta sokongan pasukan pelbagai disiplin dan teknologi perubatan terkini.

 

“KPJ Healthcare akan terus membangunkan keupayaan berkenaan di seluruh KPJ Health System, namun kualiti penjagaan pesakit kekal menjadi keutamaan Kumpulan,” katanya.

 

Sementara itu, Profesor Dr Shahrul Amry berkata pemilihan kaedah pembedahan dibuat berdasarkan keadaan klinikal setiap pesakit serta tahap kerumitan prosedur.

 

Beliau berkata setiap kes dinilai dengan teliti bagi memastikan pendekatan yang dipilih paling sesuai, manakala kejayaan sebenar bukan hanya diukur berdasarkan jumlah prosedur, tetapi turut merangkumi penjagaan pesakit daripada penilaian awal hingga proses pemulihan.

 

t

 

DSH2 diiktiraf di peringkat Asia Pasifik

Pencapaian terbaharu itu turut menyokong strategi KPJ Healthcare yang menggabungkan amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan kumpulan.

 

DSH2 sebelum ini menerima anugerah ‘Minimally Invasive Cardiac Surgery of the Year – Asia Pacific 2025’ pada GlobalHealth Asia-Pacific Awards 2025 sebagai pengiktirafan terhadap kepakarannya dalam bidang berkenaan.

 

Hospital itu juga merupakan ahli Mayo Clinic Care Network (MCCN), yang membolehkan doktornya mendapatkan rundingan pakar serta sumber klinikal daripada Mayo Clinic.

 

Secara keseluruhan, KPJ Healthcare mengendalikan 29 hospital dan tiga pusat penjagaan ambulatori di seluruh Malaysia, dengan lebih 3.3 juta pesakit menerima rawatan setiap tahun menerusi sokongan 1,491 perunding perubatan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved