Hujan Turun 35 Hari Berturut-turut Di Tokyo, Penduduk Mula Resah

WorldEnvironment
2 Oct 2026 • 9:35 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Hujan Turun 35 Hari Berturut-turut Di Tokyo, Penduduk Mula Resah

Penduduk Tokyo berdepan cuaca luar biasa apabila ibu negara Jepun itu mencatat 35 hari hujan berturut-turut, sekali gus menjadi tempoh hujan paling panjang sejak rekod cuaca mula direkodkan pada 1886.

Hujan berterusan itu bukan sahaja menjejaskan rutin harian penduduk, malah menyebabkan harga barangan seperti sayur-sayuran meningkat.

Keadaan itu sekali gus memberi kesan kepada sektor pelancongan dan menimbulkan kebimbangan mengenai kesan cuaca terhadap kesihatan.

Menurut agensi meteorologi Jepun, Tokyo menerima 629 milimeter hujan dari awal September hingga Isnin lalu, hampir tiga kali ganda berbanding jumlah biasa bagi tempoh sama.

Dalam tempoh tersebut, Tokyo hanya menerima 45.8 jam cahaya matahari, iaitu jumlah kedua terendah pernah direkodkan, manakala matahari langsung tidak kelihatan selama 14 hari.

Keadaan itu turut menyebabkan penduduk mula mengeluh kerana sukar menjalani aktiviti harian seperti biasa, termasuk mengeringkan pakaian.

Tokyo Catat 35 Hari hujan Berturut-Turut

Image from: Hujan Turun 35 Hari Berturut-turut Di Tokyo, Penduduk Mula Resah
Kredit: AFP

Malah, sebahagian penduduk terpaksa berkunjung ke kedai dobi untuk mengeringkan pakaian berikutan cuaca yang sentiasa lembap dan hujan.

Laporan media tempatan turut menyebut bahawa hujan berpanjangan menyebabkan harga sayur-sayuran, khususnya sayuran berdaun, salah satu punca didorong oleh tanaman yang rosak di kawasan pertanian sekitar Tokyo.

Seorang pekerja pasar raya di Tokyo dipetik sebagai berkata, harga sebiji salad meningkat lebih dua kali ganda kepada 450 yen (kira-kira RM12.30).

Cuaca berpanjangan itu juga dipercayai memberi kesan terhadap kesihatan fizikal dan mental penduduk.

Doktor dan pengarah sebuah klinik di Tokyo, Hiromichi Ito, berkata hujan berterusan, tekanan atmosfera rendah serta kelembapan tinggi boleh menyebabkan gejala seperti sakit kepala dan pening.

Baca juga:

Sementara itu, pegawai agensi meteorologi Jepun, Masayuki Kyoda, berkata keadaan tersebut berlaku apabila sistem hujan musim luruh berlaku lebih lama daripada kebiasaan.

Menurutnya, fenomena El Niño pada tahun ini turut memanaskan Lautan Pasifik dan berpotensi menguatkan corak cuaca ekstrem.

Musim hujan lazimnya bermula pada Jun

Tokyo lazimnya mengalami musim hujan pada Jun, namun hujan lebat dilaporkan berlaku secara berterusan sepanjang musim panas tahun ini hingga menyebabkan banjir di beberapa kawasan.

Awal bulan ini, Taufan Dujuan turut menyebabkan banjir dan tanah runtuh di wilayah Chiba yang terletak berhampiran Tokyo, mengorbankan lapan nyawa serta memusnahkan puluhan rumah.

Pegawai meteorologi minggu ini turut memberi amaran bahawa satu lagi taufan, yang merupakan taufan ke-26 bagi musim ini, sedang bergerak ke arah timur laut dan berkemungkinan melanda kawasan Kanto, termasuk Tokyo.

Image from: Hujan Turun 35 Hari Berturut-turut Di Tokyo, Penduduk Mula Resah
Kredit: AFP

Walaupun hubungan secara langsung antara perubahan iklim dan tempoh hujan luar biasa itu masih sukar dipastikan, agensi meteorologi Jepun sebelum ini menyatakan pemanasan global memberi kesan jangka panjang terhadap corak cuaca negara tersebut, termasuk peningkatan jumlah hujan.

Rekod paling lama sebelum ini adalah 33 hari

Tempoh hujan berturut-turut sebelum ini yang paling lama di Tokyo ialah selama 33 hari, iaitu dari 27 Jun hingga 29 Julai 2019.

Situasi berlarutan itu turut mencetuskan fenomena yang digelar penduduk sebagai “keletihan akibat hujan”, dengan ramai meluahkan rasa tidak tahan kerana Tokyo tidak menikmati satu hari kering pun sejak 27 Ogos.

Seorang pengguna X menyifatkan hujan tanpa henti itu sebagai antara punca dirinya berasa kurang ceria, manakala penyanyi utama kumpulan Radwimps, Yojiro Noda, turut berseloroh mengenai keadaan tersebut dengan menulis, “Tokyo, seumur hidup hujan.”

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved