KPJ Healthcare dijangka raih manfaat terbesar daripada pembaharuan skim kesihatan, kata RHB Research

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2026 • 10:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KPJ Healthcare dijangka raih manfaat terbesar daripada pembaharuan skim kesihatan, kata RHB Research Image from: KPJ Healthcare dijangka raih manfaat terbesar daripada pembaharuan skim kesihatan, kata RHB Research hamden30/07/2026 - 10:10 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Julai - KPJ Healthcare Bhd (KPJ) dijangka menjadi antara penerima manfaat terbesar apabila pelaksanaan insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) dan sistem pembayaran berasaskan Diagnosis-Related Groups (DRG) dilakukan secara menyeluruh pada masa hadapan.

 

RHB Research berkata, KPJ berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pembaharuan tersebut menerusi rangkaian hospital sekunder dan komuniti yang luas, yang beroperasi pada asas kos lebih rendah serta mempunyai kapasiti untuk menampung peningkatan jumlah pesakit.

 

Firma penyelidikan itu berkata, faktor tersebut membolehkan KPJ berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding pesaing lain apabila sistem pembiayaan penjagaan kesihatan negara beralih kepada model yang lebih mampan.

 

Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan 'Overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan dengan KPJ Healthcare terus menjadi saham pilihan utama bersama Duopharma Biotech Bhd dan LAC Medical Group Bhd.

 

Pelaksanaan Berperingkat Elak Kejutan

Menurut firma penyelidikan itu, antara perkembangan penting yang dibincangkan pada Simposium Sasana Bank Negara Malaysia ialah pengenalan mekanisme 'soft landing' menerusi pelarasan hibrid Diagnosis-Related Groups–Fee-For-Service (DRG-FFS) bagi mengurangkan risiko kejutan margin kepada pengendali hospital swasta sepanjang tempoh peralihan kepada sistem harga berasaskan DRG.

 

Walaupun peralihan daripada sistem Bayaran Kepada Perkhidmatan (FFS) kepada kadar DRG dijangka mengehadkan keupayaan hospital swasta meningkatkan hasil menerusi pengebilan beritem seperti ubat-ubatan, ujian makmal dan bahan guna habis, RHB Research menjangkakan impak kewangan dalam tempoh terdekat adalah minimum.

 

Ini kerana penyertaan dalam sistem DRG masih bersifat sukarela sehingga semua sistem dan infrastruktur data yang diperlukan diwujudkan sepenuhnya, manakala kadar berasaskan DRG ketika ini hanya terpakai kepada produk baharu MediAsas.

 

Pada masa sama, pihak pengawal selia mengakui tiada sistem DRG di dunia yang benar-benar kebal daripada cabaran operasi seperti DRG creep (upcoding bagi meningkatkan campuran kes), pelepasan pesakit lebih awal, pemilihan pesakit serta pengebilan tambahan, sekali gus menjadikan pendekatan pelaksanaan secara berperingkat sebagai langkah yang lebih praktikal.

 

Dalam perkembangan berkaitan, RHB Research berkata, pelaksanaan Malaysia Digital Health Certification Network (MDHCN) turut menunjukkan kemajuan positif apabila beberapa pengendali hospital swasta utama telah menyertai projek perintis rangkaian tersebut.

 

Rangkaian MDHCN dibangunkan berasaskan konsep "Satu Individu, Satu Rekod" mengikut piawaian International Patient Summary (IPS) bagi membolehkan perkongsian data kesihatan yang lebih lancar antara sektor awam dan swasta.

 

Antara kumpulan hospital yang terlibat ialah KPJ Healthcare, IHH Healthcare, Sunway Healthcare, Selgate Specialist Hospitals, MAHSA Specialist Hospital dan Mahkota Medical Centre.

 

Menurut RHB Research, kebimbangan pengendali hospital swasta terhadap isu privasi dan perkongsian data dijangka dapat diatasi melalui rangka kerja persetujuan jelas yang dikawal sendiri oleh pesakit, membolehkan akses kepada rekod kesihatan diberikan mengikut tempoh tertentu menerusi aplikasi MySejahtera.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun berkata, risiko kepada prospek sektor termasuk peningkatan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan, pertumbuhan jumlah pesakit atau intensiti hasil yang lebih perlahan, selain sebarang perubahan dasar kawal selia yang tidak memihak. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved