hamden30/07/2026 - 11:30 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai - AME Real Estate Investment Trust (AME Reit) dijangka meneruskan momentum pertumbuhan yang mampan disokong sumbangan aset baharu, kadar sewaan yang terus meningkat serta prospek pelaburan perindustrian yang kukuh di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Beli' terhadap AME Reit dengan harga sasaran (TP) RM1.95 sesaham, menawarkan potensi kenaikan sebanyak 27% daripada harga semasa selain hasil dividen diunjurkan sekitar 6% bagi FY27F.
Menurut RHB Research lagi, AME Reit kekal menjadi antara pilihan utama dalam sektor REIT industri berikutan asas perniagaannya yang berdaya tahan serta pendekatan berdisiplin dalam mengembangkan portfolio aset.
"Kami turut melihat JS-SEZ sebagai pemangkin pertumbuhan jangka sederhana yang positif, disokong aliran berterusan pelaburan sektor pembuatan, logistik dan rantaian bekalan di Johor," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27), AME Reit merekodkan pendapatan teras sebanyak RM11.5 juta, meningkat 10.3% berbanding tempoh sama tahun lalu dan memenuhi kira-kira 23% daripada unjuran tahunan CGS International serta konsensus pasaran.
Pendapatan meningkat 18% tahun ke tahun kepada RM16.6 juta, didorong sumbangan daripada empat hartanah yang diperoleh sepanjang FY26 serta semakan kadar sewaan yang lebih tinggi.
Walaupun pendapatan operasi bersih (NPI) berkembang hampir 20%, pertumbuhan keuntungan lebih sederhana berikutan kos pembiayaan melonjak 43% kepada RM3.1 juta susulan pengambilalihan aset yang dibiayai melalui pinjaman.
Pada masa sama, nisbah penggearan meningkat kepada sekitar 31% berbanding 29% pada akhir FY26, namun masih berada pada paras yang selesa dengan baki kapasiti pembiayaan sekitar RM199 juta bagi menyokong pengambilalihan aset baharu.
Kadar Penghunian
RHB Research menjangkakan kadar penghunian AME REIT akan terus menghampiri paras penuh, disokong kadar pengekalan penyewa yang tinggi, tempoh tamat pajakan yang terkawal serta permintaan berterusan daripada penyewa sedia ada dan baharu yang mahu mengembangkan operasi masing-masing.
Firma itu turut menjangkakan semakan kadar sewaan kekal positif pada kadar rendah hingga pertengahan satu digit, manakala kira-kira 11% pajakan yang akan diperbaharui sepanjang FY27 dijangka membuka ruang kepada peningkatan kadar sewaan secara berperingkat.
Dari segi pengembangan portfolio, AME REIT telah melengkapkan pengambilalihan aset i-Park SAC 34 pada Jun lalu yang mewakili kira-kira 4% daripada jumlah keluasan boleh disewa bersih (NLA), dengan sumbangannya dijangka mula direkodkan pada keputusan 2QFY27.
Selain itu, syarikat turut meneruskan projek build-to-lease pertama menerusi cadangan pembelian tanah perindustrian pegangan bebas seluas 8.87 ekar di i-Park @ Senai Airport City bernilai RM50.2 juta.
Pihak pengurusan menganggarkan keseluruhan perbelanjaan modal projek itu mencecah sekitar RM104 juta dengan sasaran pulangan NPI kira-kira 7%.
RHB Research percaya prospek permintaan yang kukuh terhadap ruang perindustrian di Johor, khususnya dalam kawasan JS-SEZ, akan membolehkan ketiga-tiga aset baharu itu mencapai kadar penghunian yang baik sebaik sahaja siap dibangunkan, yang dijangka pada FY29.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan serta harga sasaran RM1.95 sesaham yang diterbitkan menggunakan kaedah Dividend Discount Model (DDM), termasuk premium ESG sebanyak 2%.
Menurutnya, risiko utama kepada prospek AME Reit ialah kadar semakan sewaan yang lebih rendah daripada jangkaan serta peningkatan kos pembiayaan yang lebih tinggi daripada unjuran. - DagangNews.com






