KPJ lancar hospital ke-30 di Kuala Selangor, luaskan capaian kesihatan pakar swasta

14/04/2025 - 16:18
Oleh ‘AINA SYAZWINA
KUALA SELANGOR 14 April – KPJ Healthcare Bhd hari ini melancarkan cawangan hospital ke-30 di Kuala Selangor, dan ia merupakan sebahagian daripada usaha mengukuhkan sistem kesihatan khususnya di kawasan luar bandar.
Pelancaran hospital itu merupakan langkah strategik KPJ dalam memperluaskan perkhidmatannya ke kawasan separa bandar dan berpotensi tinggi sekali gus merapatkan jurang akses perkhidmatan kesihatan pakar swasta di kawasan yang sebelum itu kurang diberi tumpuan.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, pemilihan Kuala Selangor adalah sebahagian daripada rancangan peluasan KPJ ke kawasan pertumbuhan pesat di luar bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Perak.
“Pelaburan di Kuala Selangor mencerminkan strategi kami untuk berkembang bukan sahaja di kawasan bandar, tetapi juga di lokasi dengan keperluan penjagaan kesihatan yang tinggi serta potensi pembangunan komuniti yang pesat.
"Faktor keperluan komuniti menjadi keutamaan utama dalam strategi KPJ, di samping sinergi jangka panjang dengan dasar-dasar Kementerian Kesihatan bagi melengkapi sistem penjagaan kesihatan sedia ada.
“Kami melihat ini bukan hanya sebagai projek komersial, tetapi juga sebagai satu bentuk khidmat masyarakat bagi melengkapkan jurang perkhidmatan dan memastikan masyarakat setempat mendapat akses kepada teknologi dan kepakaran yang selama ini tertumpu di bandar besar,” katanya.


Majlis perasmian hospital baharu itu dirasmikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan turut dihadiri Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr Ismail Bakar.
Hospital itu dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) 1.5 Tesla, mesin pengimbas Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan), Sistem Super Induktif (SIS) untuk pengurusan kesakitan tidak invasif serta sistem maklumat hospital digital seperti HIS, RIS, dan PACS.
Dengan 60 katil, empat unit rawatan rapi (ICU), dua bilik pembedahan dan bilik bersalin, KPJ Kuala Selangor menyasarkan untuk menjadi pusat rujukan utama di kawasan barat Lembah Klang dari Puncak Alam hingga ke Sabak Bernam.
Dengan pelancaran hospital itu, KPJ Healthcare kini mengukuhkan kedudukannya bukan sahaja sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan swasta terbesar tetapi juga sebagai rakan strategik kepada sistem penjagaan kesihatan nasional yang inklusif dan berdaya tahan.
Pelaburan itu juga menzahirkan pendekatan ‘Care for Life’ menjadi prinsip utama KPJ dengan penekanan terhadap nilai kesaksamaan, keterangkuman, dan penjagaan berterusan.
Sementara itu, Ismail berkata, KPJ Kuala Selangor juga akan menjadi sebahagian daripada pelaksanaan KPJ Health System iaitu model akademik menyeluruh yang mengintegrasikan perkhidmatan klinikal, penyelidikan, dan pendidikan melalui kerjasama dengan institusi seperti Universiti KPJ Healthcare (KPJU).
“Ini bukan hanya tentang merawat. Ia tentang membina kapasiti, menyalurkan pengetahuan, dan membentuk masa depan penjagaan kesihatan Malaysia.
"Hospital ini milik rakyat Kuala Selangor. Kami harap ia menjadi simbol harapan, penyembuhan, dan kebanggaan untuk generasi akan datang," katanya.- DagangNews.com
featured standard



