Malaysia bimbang terhadap sekatan eksport perubatan AS - Dr Dzulkefly

14/04/2025 - 16:10
Oleh NUR 'AINA SYAZWINA
KUALA SELANGOR 14 April - Malaysia menyuarakan kebimbangan berlakunya sekatan eksport terhadap barangan perubatan susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif tinggi terhadap produk dari negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau baru sahaja menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri kanan bagi membincangkan kesan tindakan dikenali sebagai 'reaksi Presiden Trump' itu.
"Saya harus katakan, kita benar-benar marah. Sekatan eksport melibatkan ubat-ubatan bernilai AS$36 bilion adalah langkah yang menekan negara-negara sedang membangun seperti Malaysia.
"Walaupun peranti perubatan dikecualikan, namun yang menjadi masalah besar ialah ketidaktentuan dalam rundingan harga," katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka dan pembukaan Hospital KPJ Kuala Selangor, hari ini
Dr Dzulkefly menjelaskan, tindakan itu merupakan ancaman besar terhadap sistem perdagangan dan pelaburan global yang seharusnya bersifat adil serta berkecuali.
Katanya, perkara itu juga sedang dikendalikan oleh Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) Kebangsaan dan sebarang rundingan lanjut akan ditentukan oleh kementerian berkaitan.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan berkata, pihaknya terus berpandukan arahan kerajaan dan Kementerian Kesihatan dalam menangani isu tersebut.
"Kami fokus kepada penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based healthcare) yang menitikberatkan hasil rawatan, keselamatan dan kualiti klinikal pesakit.
"Buat masa ini, kos operasi kami masih terkawal dan turut terlibat secara aktif dalam sesi libat urus bersama pengeluar ubat tempatan, pengimport peranti perubatan dan syarikat farmaseutikal dari AS," katanya.- DagangNews.com
standard


