KPJ rawat pesakit guna teknologi perubatan holografi, realiti maya

30/04/2025 - 13:15
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 30 April - KPJ Healthcare Berhad memperkenalkan teknologi perubatan holo (holomedicine) di Hospital Pakar Damansara 2 yang membolehkan imbasan MRI ditukar kepada imej 3D anatomi manusia menggunakan teknologi realiti campuran dan holografi.
Inovasi tersebut adalah satu langkah baharu dalam memudahkan pemahaman pesakit serta membantu pakar perubatan merancang pembedahan dengan lebih baik.
Teknologi berasaskan AI itu juga membolehkan pesakit dan doktor berinteraksi secara langsung, termasuk memanipulasi model 3D dan melakukan siaran langsung.
Ia juga berpotensi digunakan untuk imbasan CT pada masa hadapan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Tengah KPJ, Hoo Ling Lee, teknologi itu masih di peringkat awal, namun sudah menunjukkan kesan positif.
"Pesakit boleh memakai alat khas untuk melihat rawatan yang dilakukan doktor dalam masa nyata.
"Sebagai contoh, mereka boleh tahu dengan jelas apa yang akan dilakukan oleh pakar bedah termasuk di mana potongan pertama akan dibuat, di mana seterusnya dan lokasi ketumbuhan," katanya semasa Sidang Kemuncak Healthcare Asia 2025, baru-baru ini seperti laporan portal Health Care Asia Magazine.
Beiau berkata, KPJ kini merancang untuk menyelaraskan penjagaan fizikal dan maya secara seimbang menjelang tahun 2035, berbanding hanya 10% perkhidmatan yang ditawarkan secara maya ketika ini melalui teleperubatan dan penggunaan AI yang terhad.
"Menjelang 2050, kami menyasarkan sebanyak 90% perkhidmatan akan ditawarkan secara maya dan hanya 10% secara fizikal," ujarnya.
Dalam masa yang sama, KPJ juga sedang membangunkan sistem chatbot yang membolehkan pesakit menyerahkan maklumat kesihatan mereka sebelum berjumpa doktor.
Dengan mengimbas kod QR, pesakit boleh berinteraksi terus dengan bot tersebut.
"Apabila pesakit masuk ke bilik rawatan, doktor sudah tahu sejarah kesihatannya," kata Ling Lee.
Tambahnya, sistem tersebut masih dalam proses pelaksanaan penuh dan KPJ baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman dengan pembangun teknologi berkenaan, Angsana Health Sdn Bhd, untuk meneliti kaedah terbaik bagi melaksanakannya.
"Kami sedang mempertimbangkan untuk menawarkan perkhidmatan ini kepada pelanggan korporat terpilih," jelasnya. - DagangNews.com
standard


