Sektor teknologi hadapi ketidaktentuan, namun prospek masih positif - RHB Research

25/04/2025 - 12:13
Gambar Homa Appliances/Unsplash Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 25 April - Sektor teknologi dijangka terus berdepan ketidaktentuan, mendorong RHB Research menurunkan unjuran hasil dan keuntungan bagi FY25 dan FY26 sebanyak 3% hingga 15% sebagai langkah berjaga-jaga.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu kekal positif terhadap prospek sektor tersebut, berdasarkan potensi pulangan yang tinggi bagi syarikat-syarikat utama yang kukuh dan mempunyai nisbah risiko-ganjaran yang menarik.
Menurut RHB Research, industri berorientasikan eksport seperti teknologi mungkin menghadapi cabaran, namun masih terdapat beberapa perkembangan positif yang boleh menyokong pertumbuhan sektor.
Antaranya, produk semikonduktor yang dikecualikan daripada Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS).
"Kebanyakan syarikat teknologi tersenarai di Malaysia tidak mengeksport komponen atau cip terus ke AS. Oleh itu, mereka kurang terkesan secara langsung daripada tarif ini," kata RHB Research dalam satu nota kajian.
Jelasnya, kebanyakan urus niaga penghantaran menggunakan syarat 'ex-works' yang bermaksud sebarang kesan tarif adalah tidak langsung dan lebih kepada gangguan permintaan akibat harga barang yang meningkat.
Firma itu menjangka akan berlaku lonjakan pesanan dalam masa terdekat serta pemindahan aktiviti pembuatan ke rantau ASEAN akibat tarif berkenaan.
"Walaupun jumlah eksport dari China mungkin merosot, permintaan cip dari negara lain dijangka kekal stabil. ASEAN dijangka menerima lebih banyak pesanan," ujarnya.
RHB Research turut menyatakan, penilaian syarikat dalam sektor tersebut kini berada pada tahap terendah, memberi peluang pelaburan menarik.
Ia kini diniagakan pada nisbah P/E sebanyak 16 kali untuk 2025, lebih rendah daripada purata lima tahun iaitu 20 kali, walaupun pertumbuhan dijangka kurang 30% setahun.
Sebagai perbandingan, ketika pandemik Covid-19, nisbah P/E sektor berkenaan pernah jatuh serendah 13.2 kali.
RHB Research turut menyatakan, pengukuhan rantaian bekalan selepas fasa pertama perang perdagangan AS-China memberi petunjuk positif kepada daya tahan industri.
Berdasarkan data Persatuan Industri Semikonduktor (SIA), sektor tersebut menunjukkan tanda pemulihan kukuh apabila SIA menaikkan unjuran jualan global sebanyak tiga kali berturut-turut kepada RM2.7 trilion (naik 19%) pada 2024 dan 11.2% pada 2025.
RHB turut melihat petunjuk positif dalam segmen peralatan ujian automatik (ATE) dan pengeluaran semikonduktor awal (front-end), yang menyokong jangkaan pemulihan sektor secara berterusan tahun ini.
Kitaran penggantian peralatan dijangka semakin rancak, dengan jualan peralatan ujian, pemasangan dan pembungkusan dijangka meningkat masing-masing 14.7% dan 16% pada 2025 dan terus naik pada 2026.
RHB Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor teknologi, dengan saham pilihan utama termasuk Malaysian Pacific Industries Bhd dan Unisem (M) Bhd. - DagangNews.com
standard

