
SOOK: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus mengukuhkan agenda merakyatkan pertanian dengan menganjurkan Mini Karnival KPKM ‘Pertanian Untuk Semua’ di Kampung Karamatoi Laut pada Sabtu.
Program berkenaan menunjukkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan sektor agromakanan turut diberi perhatian di kawasan pedalaman serta luar bandar dan tidak hanya tertumpu di bandar atau pusat ekonomi.Pendekatan ini dilihat penting untuk memupuk minat masyarakat terhadap pertanian, memperkenalkan teknologi baharu dan mengiktiraf pertanian sebagai sumber kerjaya mahupun pendapatan yang berdaya maju.
Timbalan Menteri KPKM Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata Sabah khususnya daerah pedalaman seperti Sook, Nabawan dan Keningau mempunyai kelebihan dari segi tanah yang luas, sumber semula jadi dan tenaga kerja yang berpotensi untuk pembangunan sektor agromakanan.
“Kawasan pedalaman juga berpotensi besar untuk menjadi pusat pengeluaran tanaman makanan asas seperti padi, sayur-sayuran, buah-buahan selain ternakan memandangkan keluasan tanah yang masih boleh diteroka.
“Mini Karnival anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang ini turut menggembleng agensi di bawah KPKM seperti LKIM, Fama, Mardi dan Agrobank.
“Ia berfungsi sebagai platform utama memberikan pendedahan kepada petani, penternak, nelayan, dan usahawan tani mengenai peluang pasaran, teknologi moden serta sokongan yang ditawarkan oleh agensi-agensi berkenaan.
“KPKM yakin bahawa dengan sokongan berterusan daripada agensi di bawahnya serta penglibatan aktif komuniti sektor pertanian di Sabah mampu menjadi nadi utama pembangunan ekonomi setempat,” katanya.
Mengulas lanjut Arthur menyatakan Mini Karnival KPKM ‘Pertanian Untuk Semua’ diharap dapat mencetuskan kesedaran bahawa pertanian adalah sebuah peluang besar untuk membina masa depan yang lebih mapan dan bukan sekadar pilihan.Terdahulu Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Tamu Kampung Karamatoi Laut, Sook.
Projek naik taraf Pasar Tamu Kampung Karamatoi Laut itu merupakan pasar tamu ke-53 yang dinaik taraf oleh Fama pada tahun 2025.
Pasar Tamu baharu terbabit dijangka siap sepenuhnya pada hujung Disember 2025 dan mampu menempatkan seramai 80 orang peniaga.Selain Tamu Kampung Karamatoi Laut empat lagi projek menaik taraf tamu sedang dalam pembinaan iaitu Tamu Kanibongan (Pitas), Tamu Gadong (Beaufort), Tamu Dataran Bengkoka (Pitas) dan Tamu Ranau.
Arthur menjelaskan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan dalam memperkasa sektor pemasaran hasil pertanian luar bandar terutamanya untuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif kepada usahawan tani tempatan.

