Sabah kekal peneraju pertanian moden

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2025 • 1:06 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SOOK: Sabah terus memacu ke hadapan sebagai antara negeri peneraju dalam bidang pertanian moden serta keterjaminan makanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata beliau menyatakan penghargaan buat pentadbiran negeri atas sokongan padu terhadap pelbagai inisiatif termasuk program ladang kontrak, agropreneur muda, geran padanan, pembangunan hab pemasaran hasil tani dan pemerkasaan sistem logistik agromakanan.

Beliau menegaskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi tumpuan untuk memastikan kebolehcapaian dan kestabilan bekalan makanan negara.

“Ini selaras dengan Dasar Keterjaminan Makanan Negara yang menjadi teras hala tuju kementerian.

“Oleh itu Program Industri Makanan dan Asas Tani (Imat) 2025 @ Sabah merupakan manifestasi nyata matlamat Kerajaan Madani dalam membina ekosistem agromakanan negara yang mampan, berdaya saing dan berorientasikan rakyat.

​“Program seperti Imat yang dianjurkan oleh Fama berfungsi sebagai platform penting untuk memperkasakan usahawan tani.

“Ia bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan hasil jualan usahawan tempatan tetapi sebagai medan pendidikan kepada masyarakat tentang potensi sektor agromakanan,” katanya ketika berucap sempena perasmian Program Imat 2025 @ Sabah di Pekan Sook pada hari ini.

Bercakap mengenai program berkenaan Arthur menyatakan penganjuran Imat mampu memperkukuh rantaian bekalan dan ekonomi luar bandar sekali gus membawa makna besar dalam usaha meningkatkan ekosistem agromakanan negara.

Menurutnya Imat juga memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan pendapatan, mewujudkan jaringan perniagaan dengan pengedar dan pasaran moden serta menjadi platform promosi produk tempatan.

​”Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada sumber import. Sebaliknya mesti memperkukuh industri tempatan.

“Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan, bimbingan teknikal, latihan keusahawanan dan akses pasaran yang lebih terbuka untuk menyokong pengusaha dan petani,” ujar beliau.

​Arthur berkata program seumpama itu juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani dalam memperkasa ekonomi luar bandar.

“Kehadiran ribuan pengunjung di Sook dijangka memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat melalui penyediaan makanan, pengangkutan dan jualan produk harian,” tambahnya.