
PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan agar pekerja pembersihan diberi pengiktirafan sewajarnya termasuk pingat kebaktian susulan jasa mereka kepada negara bermula tahun depan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, inisiatif ini bertujuan memberi sokongan dan galakkan kepada pekerja pembersihan bahawa mereka layak menerima pengiktirafan yang sepatutnya.
“Pekerja pembersihan negara perlu diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Sebagai tunggak kebersihan negara, pekerja-pekerja pembersihan perlu diberi penghormatan termasuk pendapatan yang munasabah dan bermaruah.
“Selain itu, saya berharap mulai tahun depan, pemenang anugerah pekerja pembersihan negara akan dicalonkan untuk pertimbangan sebagai penerima pingat kebaktian yang telah lama dipraktikkan oleh kerajaan Pulau Pinang,” katanya pada Majlis Penghargaan Pekerja Pembersihan Negara, semalam.
Sementara itu, Kor Ming berkata, sebanyak 14,807 notis kesalah telah dikeluarkan dengan jumlah 548 individu dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di negeri-negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Tambahnya, daripada jumlah notis kesalahan tersebut, seramai 419 individu telah selesai melaksanakan PKM, manakala 129 individu masih dalam pelaksanaan.
“Dalam tempoh lebih tujuh bulan pelaksanaannya, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara berterusan telah menunjukkan perkembangan yang positif.
“Sehingga kini, sebanyak 15 siri PKM telah berjaya dilaksanakan di negeri-negeri melibatkan keseluruhan 2,279 jam khidmat masyarakat, sejak pelaksanaannya sejak pada 1 Januari 2026,” katanya.
Katanya, individu berkenaan perlu menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat di kawasan awam yang ditetapkan oleh mahkamah, sekali gus memberi pengalaman secara langsung mengenai kepentingan menjaga kebersihan tempat awam. – UTUSAN
The post KPKT cadang pekerja pembersihan diberi pingat kebaktian appeared first on Utusan Malaysia.






